KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan nilai rampasan sebanyak RM99,350 di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong di Selangor pada Khamis lalu.
Kementerian itu berkata, serbuan di premis Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) itu dilakukan selepas ia disyaki dijadikan tempat pemindahan minyak diesel bersubsidi dan stor penyimpanan minyak diesel tanpa kebenaran.
"Serbuan itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan seorang pekerja lelaki warga asing bagi membantu siasatan.
"KPDNHEP turut merampas 9,000 liter minyak diesel bersama beberapa peralatan yang dipercayai untuk melakukan kegiatan penyelewengan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Anggota KPDNHEP memeriksa lori tangki yang digunakan sindiket terbabit.
Mengulas lanjut, premis tersebut juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada KPDNHEP berhubung barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti punca bekalan minyak diesel diperolehi dan diedarkan termasuk mendakwa pihak yang terlibat ke mahkamah.
"Siasatan juga akan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel," katanya.
Tempat simpanan minyak diesel bersubsidi.
Tambah KPDNHEP, pihaknya memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual khususnya minyak diesel agar mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
"Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000.
"Orang ramai disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram