Polis cari wanita dipercayai bawa lari kanak-kanak


  • 112
  • Rabu, 12 Okt 2022

Nadia Kritiani yang dipercayai membawa lari seorang kanak-kanak lelaki.

POLIS sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki melarikan seorang kanak-kanak lelaki di sekitar Wangsa Maju sejak tahun 2016.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, bapa mangsa bersama wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM) telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa untuk menyerahkan memo supaya menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kehilangan anaknya.

"Kejadian berlaku pada tahun 2016 selepas pengadu mengesyaki anaknya yang berusia 6 tahun pada ketika itu dibawa lari bekas isterinya warga Indonesia dikenali sebagai Nadia Kritiani berusia 39 tahun.

"Pengadu telah membuat 12 laporan polis sejak 30 Mei 2016 namun anaknya masih gagal dikesan sehingga hari ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, kertas siasatan Orang Hilang (OH) telah dibuka dan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

"Polis juga menjalankan siasatan yang rapi bermula dari tarikh laporan polis diterima namun masih belum mendapatkan maklumat lanjut mengenai anaknya.

"Semua aduan dan maklumat yang disalurkan telah diambil tindakan dan polis juga turut membuat semakan di beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen, kedutaan dan beberapa premis yang dilaporkan pengadu," jelasnya.

Tambah Ashari, polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

"Maklumat boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram