[VIDEO] Perompak lari tak cukup tanah, kena hambat wanita gagah perkasa dengan batang besi


  • Tular
  • Sabtu, 08 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang juruwang wanita bertindak memukul perompak dalam satu kejadian samun di Sarawak.

TINDAKAN seorang wanita mengejar dua orang perompak ketika kejadian samun di sebuah kedai runcit pada Khamis undang perhatian ramai.

Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan, insiden berlaku di Sarawak itu terjadi sebaik dua orang lelaki bertopi keledar membayar minuman ringan yang dibeli di kaunter.

Rakaman video tersebut dikongsikan di laman Facebook dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet.

Selesai membuat bayaran, kedua suspek mula bertindak ganas dengan mengacu pisau ke arah juruwang dan menghentak meja kaunter.

Terkejut dengan situasi tersebut, juruwang wanita itu dilihat berundur ke belakang bagi mengelak daripada sebarang kecederaan.

Meskipun digasak beberapa kali oleh perompak, wanita terbabit enggan menyerahkan wang yang diminta, sebaliknya memukul suspek dengan sebatang besi.

Susulan itu, kedua perompak berkenaan dilihat ketakutan dan cemas sehingga melarikan diri daripada wanita terbabit.

Cubaan mangsa untuk mengejar suspek gagal apabila mereka berjaya melepaskan diri dengan motosikal.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji keberanian wanita berkenaan.

“Berani betul adik tu, tapi sayang sebab pisau perompak itu terlepas dan risau kalau di pergi merompak di kedai lain pula nanti, tapi apa-apa pun juruwang itu memang hebat,” kata HuwainaIzz.

“Kagum betul tengok dia melawan perompak, semoga sentiasa dilindungi ALLAH dik,” jelas Nurul Nisak.

“Sebab tu takut kalau tengok orang masuk kedai pakai topi keledar, risau kalau mereka ada niat merompak,” tambah NurTiara.

Difahamkan, seorang lagi pekerja di premis tersebut mengalami kecederaan ringan di tangan akibat dihentak dengan kayu.

Belum ada sebarang kenyataan daripada polis Sarawak berkenaan insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram