Ustaz baca doa staf JAWI paling ramai poligami kena tegur


  • Tular
  • Isnin, 10 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang pegawai JAWI yang juga merupakan ustaz di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan meminta agar dikahwinkan dengan ramai perempuan dalam bacaan doanya.

TINDAKAN seorang ustaz yang mengetuai bacaan doa dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur undang perhatian ramai selepas dia meminta agar dikurniakan isteri ramai.

Video yang dimuat naik di laman TikTok itu memaparkan tindakan lelaki tersebut yang memohon untuk diberikan rezeki mencurah serta dibolehkan untuk berkahwin lebih daripada seorang isteri.

Turut dihadiri beberapa orang awam dalam majlis tersebut, doa itu juga disusuli dengan ayat suci Al-Quran yang dibacakan di hadapan ramai.

Menerima lebih 2,000 jumlah tontonan, video terbabit menerima pelbagai reaksi dan kecaman daripada warganet.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang merupakan pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan juga ketua imam di sebuah masjid di Wilayah Persekutuan mendakwa dia hanya membacakan teks doa yang diberikan kepadanya.

Dalam doa yang dibacakan, dia turut memohon agar kakitangan JAWI menjadi golongan yang paling ramai berpoligami.

“Ya ALLAH kami pinta agar berilah kemurahan rezeki yang mencurah banyaknya kepada kami ini, membolehkan kami melayari bahtera kehidupan dan memolehkan kami menambah isteri lebih daripada seorang.

“Sesungguhnya di luar sana ramai perempuan yang inginkan suami seperti kami.

“Kami amat mengharapkan agar jabatan agama Islam kami ini menjadi jabatan yang terbaik dan paling ramai berpoligami adalah di Jabatan JAWI ini," katanya.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berpendapat bacaan doa tersebut adalah berbeza daripada teks doa yang telah ditetapkan pihak penganjur.

“Kami amat mengambil berat terhadap profesionalisme pegawai dalam melaksanakan tugasan agar imej institusi Islam sentiasa terpelihara.

“Justeru tindakan nasihat dan teguran telah diberikan terhadap pegawai berkenaan agar mematuhi garis panduan dan teks doa yang ditentukan oleh pihak JAWI pada masa akan datang," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut meninggalkan kecaman berhubung isu terbabit.

“Dalam banyak-banyak benda boleh diminta, itu juga yang disebut dalam doa, ekonomi sudah semakin teruk ada nafsu nak tambah isteri tetapi sudahnya bini dan anak yang melarat," kata Devon jr.

“Saya paling benci kalau pejabat buat majlis ilmu dan jemput ustaz sejenis nak bergurau bab poligami, kononnya nak meriahkan suasana," jelas azlina.

“Seorang isteri pun dah tidak terjaga, kalau ada rezeki lebih biarlah saya bahagiakan puteri saya dan emak saya yang sanggup bergadai nyawa ketika melahirkan," tambah ayahanda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram