[VIDEO] Hati kering! Pencuri rembat iPhone depan mata penjual di Kulim


  • Tular
  • Sabtu, 08 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki bertindak mencuri sebuah telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di Kulim, Kedah.

TINDAKAN seorang lelaki mencuri telefon pintar jenama iPhone di sebuah premis perniagaan di Kulim Landmark Central, Kedah pada Jumaat undang perhatian warganet.

Pemuda tersebut yang difahamkan ingin membeli telefon itu, terlebih dahulu dilihat sedang meneliti alat telekomunikasi terbabit.

Namun kealpaan si penjual yang leka mencari barang di rak digunakan sepenuhnya oleh lelaki berkenaan apabila bertindak melarikan telefon mewah tersebut.

Kejadian itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Berdasarkan video itu, penjual wanita berkenaan terlebih dahulu memberikan telefon yang diminta untuk dilihat oleh pemuda terbabit.

Namun alangkah terkejutnya penjual tersebut apabila lelaki berkenaan ghaib bersama bungkusan telefon yang diberikan ketika dia sedang mencari barang di rak.

Pencuri itu bertindak mencapai bungkusan telefon dan melarikan diri selepas tidak dikawal oleh sesiapa ketika kejadian.

Meskipun cuba untuk mengejar dan meminta tolong daripada orang ramai, namun usahanya gagal selepas pencuri itu difahamkan hilang melarikan diri.

Menjengah ke ruangan komen, netizen turut mengecam tindakan suspek.

“Muka tak reti malu, dalam pusat beli belah ada banyak kamera nak mencuri fikir la dulu, ingat takda bukti ke kalau tuan kedai nak buat laporan polis,” kata Amin Nur Izzat.

“Kamera bersepah dalam kedai itu, kiri kanan atas bawah semua ada jadi mesti akan tertangkap pencuri itu,” jelas Joey Rafidy.

“Yang penjual pun satu masalah, kenapa letak telefon itu depan dia lepas tu pergi sibuk mengemas cari barang dalam rak bawah, memang la pencuri ambil kesempatan,” tambah Omar Mar.

Difahamkan, pemilik kedai terbabit sedang mengumpulkan maklumat daripada orang ramai dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram