Pengumuman Pemenang: Kongsikan kisah anda sebagai anak watan Malaysia tanpa perlu menceritakan kerakyatan anda


  • Bizz
  • Isnin, 10 Okt 2022

Pelbagai hadiah menarik berjaya dibawa pulang lapan pemenang utama.

BAGI memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan kali ke-65 pada Ogos lalu, Kumpulan Media Star (SMG) menganjurkan kempen 'Kongsikan kisah anda sebagai anak watan Malaysia tanpa perlu menceritakan kerakyatan anda'.

Kempen yang diadakan pada 22 Ogos hingga 16 September itu bertujuan mengajak orang ramai berkongsi kisah sebagai seorang rakyat Malaysia menggunakan kreativiti masing-masing.

Seperti yang dijanjikan, 65 daripada ratusan penyertaan berjaya membawa pulang hadiah menarik, termasuk peranti pintar dan baucar penginapan berdasarkan kreativiti video dan gambar yang telah dihantar.

Tambahan pula, lima peserta juga dipilih sebagai pemenang utama dengan Tan Tze May berjaya menduduki di tempat pertama sekali gus membawa pulang televisyen pintar Android Panasonic 4K bersaiz 50 inci.

Penyertaan menghiburkan yang mengatakan rakyat Malaysia sering menggunakan ungkapan 'Walao' dalam pelbagai situasi seperti mengeluh dengan kesesakan jalan raya dan menghargai keenakan makanan berjaya menarik hati panel pengadil.

"Penyertaan itu dibuat kerana saya melihat tema kempen ini dan saya perasan bahawa suami saya sendiri sering menggunakan ungkapan 'walao' atau 'walao eh'. Jadi, saya rekod sedikit di mana dia menggunakan ungkapan itu dalam ayatnya.

"Saya hanya mengetahui akan kempen ini menerusi laman media sosial Facebook, jadi saya terus sertai untuk melihat nasib saya. Oleh itu, saya gembira kerana memenangi hadiah utama," katanya.

digital Ad BM

Kempen #SimplyMalaysian bertujuan memeriahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan.

Katanya, individu penting di sebalik kejayaan itu adalah suaminya kerana rakaman itu hanya dibuat secara spontan bertujuan untuk memastikan terdapat elemen santai dalam hantaran itu.

Sementara itu, hadiah tempat kedua berupa sebuah jam pintar daripada Huawei berjaya dibawa pulang seorang rakyat Ipoh, Perak, Liew Ven Fung.

"Saya mengetahui kempen ini menerusi laman Instagram rasmi The Star. Saya berasa sangat gembira dan berbangga kerana juri daripada The Star menggemari video saya.

"Saya juga bergembira kerana salah seorang anggota adik-beradik saya juga memenangi hadiah saguhati dalam kempen itu menerusi hantaran yang dibuat," katanya.

Seorang pereka grafik, Sri Kumaran Munusamy pula membawa pulang fon telinga tanpa wayar jenama Huawei sebagai hadiah di tempat ketiga menerusi hantaran yang memaparkan keunikan kaum India.

"Saya bergembira kerana saya tidak sangka apa-apa, jadi saya cuma hantar tanpa mengharapkan kemenangan dan cuma membuat penyertaan. Jika saya menang, saya rasa bertuah," katanya.

"Saya menggunakan konsep 'Katakan anda seorang anak watan Malaysia ‘Kaigeh' tanpa perlu menceritakan bahawa anda anak watan Malaysian ‘Kaigeh' kerana frasa itu bermaksud rakyat Malaysia dalam kalangan masyarakat India. Jadi, saya menggunakan frasa 'Kaigeh," katanya.

Dalam pada itu, pemenang tempat keempat, Atteleth Don Peris berjaya memenangi mesin basuh Samsung dan isterinya, Raveena Kim Lai melihat kejayaan suaminya sesuatu yang dibanggakan.

Katanya, penggunaan bahasa isyarat serta simbolik makanan tradisi dalam penyertaan menunjukkan kreativiti yang cuba disampaikan suaminya itu.

"Ketika ini, Don (suami) bekerja di salah sebuah badan bukan kerajaan, Reef Check Malaysia yang mengambil berat akan kesejahteraan hidupan laut, berpangkalan di Mersing, Johor.

"Dalam menghasilkan video tersebut, ketika itu saya bersama suami di pantai dan seperti mana yang saya mengenalnya, dia gemar merakam perkara lucu," katanya.

"Sebenarnya, Don sangat yakin untuk tercalon dan memenangi hadiah. Saya nampak dia 'melompat-lompat' keriangan dan saya anggap kami akan memenangi peralatan elektronik.

"Tetapi, apabila dia mengatakan kami berjaya membawa pulang mesin basuh, saya mengingatkan bahawa ia merupakan satu perkara yang diperlukan untuk rumah baharu kami," katanya.

Kongsi Raveena, hadiah itu adalah sesuatu yang cukup bermakna buat keluarganya itu kerana alatan rumah itu sangat diperlukan berbanding perkara lain.

Hadiah tempat kelima yang merupakan gajet berupa jenama Samsung pula berjaya dimenangi seorang ibu kepada dua orang anak, Lim Sooi Ping.

Hantaran berkonsepkan minat orang ramai kepada tilik nasib adalah berpunca daripada kesungguhan ibunya untuk merakam nombor pendaftaran kereta lain ketika kesesakan lalu lintas.

“Segalanya bermula apabila kami terperangkap dalam kesesakan trafik yang berpunca daripada satu kemalangan.

“Ibu saya secara tiba-tiba menyuruh saya memperlahankan kereta dan saya tertanya-tanya kenapa dia suruh berbuat demikian?

“Ibu saya kata dia mahu mengambil nombor plat kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu kerana mahu membeli nombor ekor.

“Saya rasa lucu kerana kita mahu cepat tetapi dia masih fikirkan tentang perkara itu. Dan kejadian itu memberi idea kepada saya untuk membuat video ini,” katanya.

Orang ramai boleh menonton video serta melihat gambar peserta yang membawa pulang hadiah dengan melayari laman sesawang simplymalaysian.thestar.com.my. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram