Pilih pusat beli-belah sebagai rakan strategik, Semarak Uniti dekati rakyat semua peringkat


  • Primer
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Halimah (dua dari kanan) merasmikan Program Galeri Uniti Keluarga Malaysia pada Sabtu.

KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) meneruskan kempen kepelbagaian kaum dengan mengadakan Program Galeri Uniti Keluarga Malaysia (PGUKM).

Acara tersebut merupakan sebahagian daripada 106 aktiviti Semarak Uniti Keluarga Malaysia (SUKM) yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, usaha itu merupakan kerjasama dengan kementerian dan agensi di peringkat negeri termasuk sektor swasta.

"lni merupakan langkah kementerian untuk saling memahami antara satu sama lain memandangkan kita hidup dalam masyarakat berbeza latar agama, budaya dan adat resam.

"Usaha mempromosikan perpaduan bersama komuniti setempat dilakukan semoga muhibah ini dapat membantu kerjasama lebih baik selain terus berbakti kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program Uniti Keluarga Malaysia di pusat beli-belah AEON BiG Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur selaku rakan strategik pada Sabtu.

Mengulas mengenai program tersebut, Halimah memberitahu, aktiviti seperti Pameran Rumah KAMI, Citarasa Menu Keluarga Malaysia, Persembahan Busana Etnik Keluarga Malaysia dan Persembahan Selebriti popular tanah air merupakan sebahagian daripada agenda SUKM.

"Memartabatkan ikatan penyatuan Keluarga Malaysia dengan cara mengenali keistimewaan dan keunikan tradisi budaya.

"Ini juga sebagai tanda sokongan dalam usaha mempromosikan makna perpaduan bersama komuniti setempat," jelasnya.

Acara berlangsung dari 29 September hingga 9 Oktober depan di lapan lokasi seluruh negeri seperti Perak, Sarawak, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

Selain itu, Halimah turut menyasarkan untuk meluaskan program terbabit ke beberapa negeri lain termasuk menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik berbeza.

"Kita akan bertukar-tukar rakan strategik (pusat beli-belah) untuk mendekati kumpulan sasar agar lebih menyeluruh kerana pusat beli-belah juga menjadi lokasi tumpuan keluarga.

"Perkara ini juga tidak fokus kepada satu golongan saja kerana B40, M40 atau T20 akan menerima mesej yang cuba kami sampaikan," katanya.

Lokasi PGUKM selama 10 hari itu antaranya AEON Bandar Baru Klang, Selangor; AEON BiG Batu Pahat, Johor; AEON Big Falim, Ipoh, Perak; AEON Big Penang, Pulau Pinang; AEON BiG Bandaraya Melaka, AEON Kota Bahru, Kelantan; AEON Kuching, Sarawak dan AEON Seremban 2, Negeri Sembilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram