Kempen #SimplyMalaysian raikan keunikan, memori anda di tanah bertuah Malaysia


  • Massa
  • Isnin, 22 Ogos 2022

Kongsikan keunikan dan kisah menarik anda sebagai seorang rakyat Malaysia menerusi kempen #SimplyMalaysian.

ADAKAH sepinggan roti canai ataupun satu hirupan teh tarik cukup untuk menunjukkan bahawa anda seorang rakyat Malaysia tanpa perlu berkata-kata?

Bagi menyemarakkan sambutan Merdeka kali ke-65 tahun ini, Kumpulan Media Star (SMG) menjemput orang ramai tanpa mengira latar belakang untuk kongsikan destinasi pelancongan, makanan, pengalaman dan kisah menarik mengenai keunikan negara ini menerusi kempen #SimplyMalaysian.

Kempen yang bakal diadakan pada 22 Ogos sehingga 16 September ini menawarkan sebanyak 65 hadiah kepada 65 peserta paling kreatif dalam menceritakan kisah #SimplyMalaysian mereka.

Peserta hanya perlu menyediakan hantaran dengan konsep ‘Tunjukkan anda rakyat Malaysia tanpa katakan anda rakyat Malaysia’ bagi berpeluang memenangi hadiah menarik seperti perkakas eletrik, percutian, baucar tunai dan lain-lain.

Penyertaan boleh dibuat dalam bentuk foto atau video beserta kapsyen kreatif dan tanda pagar rasmi #SimplyMalaysian di laman media sosial masing-masing atau dibuat secara hantaran menerusi kiriman WhatsApp di talian 03-79646600 atau di laman sesawang simplymalaysian.thestar.com.my.

Menariknya, laman sesawang ini juga membolehkan orang ramai untuk melihat hantaran yang telah dibuat bagi menyemarakkan semangat cinta akan negara dengan melihat kisah dan pengalaman menarik rakyat negara ini.

Bersempena sambutan bulan kemerdekaan ini juga, SMG akan menawarkan potongan harga istimewa sebanyak 50 peratus untuk pelan langganan The Star Digital Access yang membolehkan orang ramai menikmati kandungan penuh di aplikasi The Star Malaysia serta di laman sesawang TheStar.com.my.

Selain itu, pembaca juga boleh mendapatkan diskaun sebanyak 44 peratus untuk tempoh sebulan bagi langganan TheStar e-paper sepanjang tempoh kempen.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang simplymalaysian.thestar.com.my atau kunjungi laman media sosial The Star di Facebook, Instagram, Twitter, Telegram dan TikTok.