[VIDEO] Gadis cantik berlagak samseng dicari polis Rembau


  • Tular
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Tangkap layar aksi pemandu Perodua Alza yang melanggar lalu lintas, serta penumpangnya yang bertindak tidak wajar ke atas pengguna jalan raya lain.

SIKAP samseng segelintir pihak di atas jalan raya adakalanya memberi ancaman kepada orang ramai.

Terbaharu, aksi bahaya seorang pemandu kereta Perodua Alza yang memandu secara berbahaya membimbangkan pengguna jalan raya lain.

Menerusi video tular berdurasi seminit itu, Perodua Alza tersebut yang dilihat bukan sahaja memandu secara melulu, malah turut memasuki garisan berkembar ketika cubaan memotong kereta di hadapannya.

Selain itu, Perodua Alza terbabit bertindak memotong pada laluan bertentangan.

Ketika memotong kereta hadapannya, penumpang hadapan Perodua Alza iaitu seorang wanita bertindak membuka tingkap dan menunjukkan reaksi marah.

Lebih biadab, wanita tersebut dipercayai turut mencarut ke arah pemandu kereta di hadapannya yang merakamkan video terbabit, sebelum menutup tingkap.

Belum habis setakat itu, Perodua Alza berkenaan turut berhenti di hadapan kereta perakam dengan melanggar peraturan jalan raya seperti melebihi garisan putih, berhenti dalam kotak kuning serta melanggar lampu merah.

Sementara itu, polis sedang mengesan Perodua Alza yang melakukan kesalahan trafik itu, yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Kompleks Pentadbiran Daerah Rembau, di Jalan Seremban-Tampin di Rembau, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, pihaknya mengesan satu video tular pada Facebook Komuniti Setempat Rembau Macam-Macam Ado sekitar pukul 8.30 pagi Jumaat.

Menurutnya, dalam video tular itu, kenderaan MPV berkenaan datang dari arah Seremban menghala ke Tampin.

"Sebaik sampai di tempat kejadian, kenderaan tersebut telah memotong sebuah kenderaan di garisan berkembar dan seterusnya bergerak dalam keadaan lampu isyarat masih merah.

"Bahagian siasatan Dan penguatkuasaan trafik IPD Rembau telah membuka satu kertas siasatan di bawah Kaedah 17 LN 167/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hazri berkata, setakat ini, pemandu yang menularkan video berkenaan telah diambil keterangan dan usaha mengesan pemandu Perodua Alza itu sedang dijalankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram