SEORANG lelaki berkongsi detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya diekori rapat sebuah kereta jenis Perodua Bezza pada Rabu.
Kereta tersebut didapati menggunakan lampu strob polis pada kenderaannya itu seolah-olah seperti kenderaan pihak berkuasa.
Belum dapat dipastikan identiti sebenar pemandu berkenaan setakat berita ini ditulis.
Menerusi video rakaman dashcam di belakang kereta mangsa, pemandu kenderaan terbabit dilihat bertindak menyalakan lampu tinggi bagi memaklumkan mahu memotong.
Sejurus sahaja memotong kenderaan mangsa, pemandu Perodua Bezza bertindak mengugut dengan menunjukkan walkie-talkie miliknya.
Selepas itu suspek memecut laju dengan memotong laju beberapa buah kenderaan di depan mangsa.
Difahamkan, kejadian berlaku di Lebuh Raya Pulau Indah, Klang, Selangor.
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati, rata-rata orang ramai berang dengan tindakan pemandu Perodua Bezza terbabit.
"Boleh buat aduan dekat balai trafik berdekatan," kata Hammad Iqram.
"Mana boleh sebarangan pasang lampu mata arah, harapnya Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dapat tahan kereta pemandu Bezza itu," jelas Muhammad Zulhusmi III.
"Baru-baru ini saya sendiri kena tengah-tengah malam tiba-tiba ada sebiji kereta wira pasang lampu macam ini, ingat nak berhenti tapi rasa tak sedap hati, pelik kereta polis ade wira ekzos besar, terus pecut," ujar Mohd Hussin.
Belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kes itu setakat ini.
Pada 12 Februari lepas, Majoriti melaporkan tindakan seorang pemandu Proton Persona yang menayangkan gari ketika menukar laluan di ibu negara, dan hasil siasatan lanjut mendapati suspek merupakan anggota polis berpangkat Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram