[VIDEO] Lebih sayang motor berbanding nyawa, 'rider' nyaris ajal dihanyutkan banjir deras


  • Benua
  • Khamis, 06 Okt 2022

Tangkap layar rakaman kejadian penunggang motosikal hampir dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Srisaket, Thailand.

SATU klip rakaman TikTok menunjukkan seorang penghantar makanan hampir dihanyutkan arus deras ekoran banjir buruk di di wilayah Srisaket di timur laut Thailand, tular di media sosial sejak Khamis.

Menerusi rakaman itu, kelihatan sekumpulan lelaki berpaut tangan antara satu sama lain untuk menarik mangsa ke tempat selamat.

Bagaimanapun dalam kejadian itu, mangsa terpaksa berputih mata selepas motosikal yang digunakan untuk mencari rezeki, akhirnya tenggelam dibawa arus deras.

Klip itu dirakam di kampus Srisaket Universiti Ramkhamhaeng, yang dilanda Ribut Tropika Noru, pada minggu lepas.

Banjir terus melanda Bangkok dan beberapa kawasan di utara dan timur laut Thailand minggu ini dengan wilayah Chiang Mai mengalami bah teruk sejak tebing sungai Ping runtuh.

Selain itu, wilayah Nakhon Sawan di tengah Thailand turut dilanda banjir apabila air di sungai Nan, anak sungai Chao Phraya, melimpah.

Rata-rata netizen melahirkan rasa simpati terhadap penunggang motosikal malang itu.

Tindakan pantas orang ramai turut dipuji kerana sanggup bergadai nyawa mengharungi arus deras untuk menyelamatkan pemuda tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram