SEORANG lelaki dipercayai pencuri dilaporkan membawa keluar sebakul barang dari sebuah pasar raya tanpa membuat pembayaran di Bintulu, Sarawak pada Khamis.
Kejadian itu yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), mengundang perhatian warganet susulan insiden itu didakwa sering dilakukan suspek di sekitar kawasan terbabit.
Suspek yang berbaju kelabu dan seluar pendek itu dipercayai baru sahaja keluar dari sebuah pasar raya dan difahamkan sedang menuju ke kenderaannya, sebuah Perodua Kancil berwarna hitam di ruangan parkir.
Menerima lebih 100 perkongsian di laman Facebook, tindakan suspek menerima pelbagai reaksi dan kecaman daripada warganet.
Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit dilihat berjalan dalam keadaan cemas sebelum beredar dengan Perodua Kancil terbabit.
Pemilik akaun Facebook @Mrfrancisngu Hownhua berkata, pencuri berkenaan sempat dikejar orang ramai namun dia berjaya melepaskan diri.
“Hati-hati dengan kereta ini kalau masuk ke kedai anda, sebab dia akan bawa bakul berisi barang yang diambil dan terus jalan keluar.
“Pencuri itu sempat dikejar namun dia berjaya melepaskan diri dengan kereta Kancil,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan keterlaluan suspek.
“Memang biasa jadi macam itu, bila tertangkap mula la buat cerita sedih anak bini lapar nak makan, tak cukup duit nak beli barang keperluan dan sebagainya,” kata Raziana Ana.
“Biasa kes macam ini mesti sebab nak makan percuma, laporkan sahaja kepada pihak polis baru ada tindakan,” jelas Nina Karina.
“Kereta dah ada, badan pun sihat lagi pergilah cari kerja kenapa perlu mencuri,” tambah Ladi Mikez.
Belum ada kenyataan daripada polis Bintulu berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram