CUBAAN dua orang penunggang motosikal mencuri tabung sumbangan di sebuah kedai runcit pada Rabu menemui jalan buntu apabila tabung tersebut diikat dengan rantai.
Kejadian itu yang berlaku di sekitar Kampung Melayu, Sungai Buloh, Selangor dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kedai terbabit.
Suspek dipercayai pasangan suami isteri itu terlebih dahulu dilihat memasuki ke premis tersebut dengan memakai topi keledar dan dilihat mencurigakan.
Menerima lebih 5,000 jumlah tontonan di TikTok, video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada warganet.
Berdasarkan rakaman tersebut, pencuri terbabit dikatakan membeli beberapa makanan ringan di premis berkenaan.
Ketika membuat bayaran di kaunter, salah seorang daripada mereka kemudiannya bertindak merampas tabung sumbangan di situ.
Meskipun beberapa kali cuba untuk merentap tabung berkenaan, namun tindakan mereka masih gagal kerana tabung tersebut diikat dengan rantai.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meninggalkan kecaman berhubung situasi itu.
27hamba berpendapat, kedai runcit perlu menetapkan syarat kepada setiap pelanggan untuk tidak memakai topi keledar ketika di dalam premis.
“Kedai runcit lepas ni kena buat undang-undang jangan benarkan orang pakai topi keledar ketika masuk kedai, buka dulu baru boleh masuk,” katanya.
“Kali pertama mencuba mungkin tidak berjaya, nanti mereka cuba mencuri di kedai lain pula pasti ada yang berjaya,” jelas norlia.ibrahim.
“Nasib baik tabung itu berantai, kalau tidak mesti dah terlepas ke tangan kedua pencuri itu,” kata fikriy.
“Ini semua berpunca akibat kenaikan harga barang, makin ramai perompak dan pencuri yang akan timbul sebab desakan kos hidup yang tinggi melampau,” tambah indadanish.
Setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis berkaitan isu terbabit dan kedua perompak itu dilihat beredar selepas gagal mencuri tabung terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram