[VIDEO] Menabung guna tong minyak, syiling melimpah saat sekeluarga mengira buat biaya sekolah adik


  • Benua
  • Selasa, 04 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki sedang mengira wang dalam tong simpanan minyak yang dikumpul selama setahun lima bulan.

AKTIVITI menabung merupakan satu amalan yang perlu diterapkan dalam minda setiap individu sejak dari kecil lagi kerana ia mampu memberikan kelebihan di masa akan datang.

Tidak dinafikan bank merupakan lokasi simpanan yang sering menjadi pilihan ramai, namun tindakan seorang lelaki yang menyimpan duit di dalam tong simpanan minyak mencuri perhatian ramai.

Dikongsikan di laman TikTok, tingkah laku sebuah keluarga di Indonesia yang mengira hasil simpanan wang dalam tong minyak, menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Difahamkan, wang berkenaan telah terkumpul selama satu tahun lima bulan dan tangki minyak yang dipenuhi syiling itu dikatakan sangat berat sehingga memaksa mereka sekeluarga mengeluarkan duit di dalamnya sedikit demi sedikit bagi mengurangkan bebanan tong tersebut.

Sebaik berat mula berkurangan, tong tersebut digulingkan ke lantai dan alangkah terkejutnya mereka sekeluarga apabila wang syiling tidak henti-henti mengalir daripada bekas tersebut.

Menurut si perakam video, tujuan mereka sekeluarga berbuat sedemikian adalah untuk membiayai yuran persekolahan adiknya.

“Tujuan kami memecahkan tabung simpanan ini adalah kerana adik saya ingin melanjutkan pelajaran di sekolah,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah wang yang tersimpan selama satu tahun lima bulan itu belum diketahui kerana masih dalam proses mengira.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meninggalkan komen berhubung video tersebut.

“Sebaiknya dirahsiakan sahaja jumlah wang yang terkumpul dan harap sebahagian wang tersebut turut disalurkan ke rumah anak yatim,” kata Formy.

“Hairan macam mana dia boleh simpan wang sebanyak itu, saya simpan dalam dompet sahaja sudah habis digunakan,” jelas Tia Kulbett.

“Memang bagus kumpul duit macam itu, macam-macam boleh buat dengan wang terkumpul sebanyak itu,” tambah Fina Darwinto. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram