[VIDEO] Angkara lambat masuk Vios, pak cik berputih mata kena rompak di Klang


  • Tular
  • Selasa, 04 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki dirompak dua orang suspek yang melarikan sebuah beg di kerusi belakang kereta mangsa di Klang.

SEORANG lelaki warga emas menjadi mangsa rompakan berhampiran Pusat Pemborong GM Klang, Selangor selepas didatangi dua orang penunggang motosikal secara tiba-tiba pada Isnin.

Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang ingin memasuki keretanya jenis Toyota Vios selepas meletakkan beg di kerusi belakang.

Akibat terlampau leka, mangsa kemudiannya diserbu salah seorang daripada suspek yang bertindak meluru ke arah pintu belakang kereta untuk merompak.

Video kejadian dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kedai berhampiran lokasi kejadian.

Dimuat naik menerusi laman Facebook, rakaman tersebut menerima lebih 60,000 jumlah tontonan setakat ini.

Dalam video tersebut, suspek dipercayai telah lama memerhatikan pergerakan mangsa apabila turut meletakkan motosikalnya di ruangan parkir tersebut.

Salah seorang suspek kemudiannya dilihat meluru ke arah pintu kanan belakang kereta untuk melarikan beg kepunyaan mangsa.

Meskipun cuba untuk mengejar, lelaki berkenaan akhirnya terpaksa berputih mata itu akibat gagal menghalang penunggang terbabit yang bertindak memecut laju di kawasan tersebut.

Rata-rata netizen turut meninggalkan komen berhubung kejadian terbabit.

Suhaimi Sulaiman berpendapat, pergerakan mangsa yang terlampau perlahan dan suka melengahkan keadaan menjadi punca utama dalam kes rompakan itu.

“Lain kali bila nak masuk kereta, masuk je terus jangan nak sibuk lap cermin kereta bagai sebab pencuri memang tunggu masa je nak bertindak,” katanya.

“Lambat sangat lelaki itu, kalau nak masuk kereta cepatlah masuk dan hidupkan enjin terus jalan, kenapa dia masih berlengah ke hulu-hilir,” jelas Zuraidi Yaacub.

“Pak cik itu berkemungkinan besar sedang memanaskan enjin kereta sebelum memulakan perjalanan, kalau tidak nanti enjin kereta boleh rosak jadi kenapa dia pula yang dipersalahkan,” tambah Ainul Yuzairi.

Setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan polis berkaitan isu terbabit dan Majoriti sedang berusaha mendapatkan kenyataan polis Klang untuk maklumat lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram