Lelaki asal Sungai Petani 'ghaib' selepas terjun jambatan kedua Pulau Pinang


  • Tular
  • Isnin, 03 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan usaha mencari mangsa terjun sedang giat dijalankan oleh seorang pemandu bot peronda yang betugas di Jambatan Kedua Pulau Pinang.

TINDAKAN seorang lelaki terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang juga jambatan kedua Pulau Pinang mengundang perhatian ramai apabila mangsa dilaporkan gagal ditemui di lokasi kejadian.

Insiden yang berlaku di Kilometer 18.0 arah pulau menghala ke Batu Kawan itu dilaporkan oleh pegawai bertugas di jambatan tersebut sebaik menerima panggilan orang awam yang berada di lokasi berkenaan.

Bot peronda yang ditugaskan kini sedang giat menjalankan usaha mencari dan perkongsian insiden itu dimuat naik di laman TikTok oleh salah seorang pemandu.

Difahamkan, mangsa berusia 35 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah itu meninggalkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil dengan dokumen pengenalan dirinya di jambatan tersebut sebelum terjun ke laut.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abdul Razak Mohamed berkata, maklumat kejadian disalurkan terus ke Pusat Operasi Mencari Dan Menyelamat Malaysia (MRSC) Langkawi untuk pengaktifan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat).

“Operasi diaktifkan sehingga sekarang turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Angkatan Pertahanan Awam serta Polis Marin Batu Uban,” katanya.

Orang awam yang mempunyai info dan sebarang penemuan diminta melaporkan kepada talian kecemasan24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram