[VIDEO] Serah diri dalam 24 jam atau diburu, rider curi cermin sisi motosikal di flat Hulu Langat diberi kata dua


  • Tular
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang penunggang p-hailing ditangkap mencuri cermin sisi motosikal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Pangsapuri Seri Kundang, Hulu Langat, Selangor.

TINDAKAN seorang penunggang p-hailing mematahkan dan mencuri cermin sisi sebuah motosikal di Pangsapuri Seri Kundang, Hulu Langat, Selangor, undang kemarahan pemilik kenderaan terbabit.

Kejadian itu yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di pangsapuri berkenaan, menjadi salah satu bukti utama bagi pemilik motosikal terbabit untuk menjejak si pencuri.

Suspek dilaporkan sering membuat penghantaran makanan di lokasi berkenaan dan usaha untuk menjejaki individu terbabit akan dilakukan segera dalam tempoh 24 jam.

Menurut Bahtiar Essendy, 39, motosikal berkenaan digunakan oleh adiknya yang masih bersekolah dan atas faktor kewangan dia tidak mampu untuk menggantikan dengan yang baharu selepas dicuri.

“Motosikal itu kepunyaan adik saya yang masih bersekolah di tingkatan lima, kasihan dia mana mampu nak beli yang baharu.

“Saya memang nak pencuri itu pulangkan semula barang yang dia ambil sebab adik saya mana ada modal nak gantikan cermin sebab masih belum bekerja.

“Kejadian itu berlaku dalam kawasan di Hulu Langat, bukannya besar mana pun daerah ini jadi saya boleh je cari pencuri itu,” katanya kepada Majoriti.

Merupakan seorang guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Dusun Nanding, Hulu Langat, Selangor, Bahtiar berkata, pencuri itu sangat mudah untuk dijejaki kerana kebanyakan penunggang p-hailing di situ merupakan pelajar di sekolahnya.

“Bukannya susah sangat nak cari pencuri itu, kebanyakan mereka merupakan pelajar di sekolah saya.

“Bukti rakaman video semua ada jadi kalau saya tanya kepada pelajar di sekolah mesti mereka akan kenal pencuri berkenaan,” tambahnya.

Menjengah ke ruangan komen, salah seorang penunggang motosikal turut meluahkan perasaannya apabila turut mengalami nasib yang sama.

“Aku ada banyak pengalaman pasal cermin sisi motosikal, hilang beli lain sampai dah kali kelima hilang pun masih beli yang lain.

“Bagi yang memandang perkara ini satu masalah kecil, kau tak kena bolehlah cakap, aku kalau dapat si pencuri itu memang teruk dikerjakan,” jelas Cty Firuz.

Menurut Bahtiar, setakat ini dia masih belum membuat sebarang laporan polis ataupun tindakan lanjut berhubung kes kecurian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram