[VIDEO] Warga asing 'bergocoh' di Ara Damansara, penduduk rasa tidak selamat


  • Tular
  • Isnin, 03 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan sekumpulan lelaki warga asing saling bergaduh dan tolak menolak satu sama lain di sebuah kawasan berhampiran Taipan Damansara 2, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

SEKUMPULAN lelaki warga asing mencetuskan kekecohan apabila saling bergaduh dan menjerit di sebuah kawasan berhampiran Taipan Damansara 2, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

Dikongsikan oleh orang awam menerusi halaman TikTok @alongmh, kejadian itu difahamkan berpunca daripada perselisihan faham berlaku antara individu tersebut.

Menerusi rakaman dimuat naik, insiden tolak menolak berlaku apabila seorang lelaki tidak berbaju mula bertindak kasar di lokasi kejadian sekali gus menyebabkan beberapa lagi lelaki lain melakukan perkara sama.

Video berdurasi 29 saat itu menerima lebih 6,000 tontonan setakat ini.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meninggalkan kecaman susulan kekecohan sekumpulan warga asing tersebut.

Alif Adli berpendapat, kejadian seperti itu berlalu susulan lambakan warga asing di Malaysia.

“Perkara itu terjadi sebab warga asing terlampau banyak, golongan rohingya dan PATI (pendatang asing tanpa izin) semuanya perlu ditangkap dan diusir daripada negara kita,” katanya.

“Wah, semakin hebat dan semakin berani golongan warga asing sekarang ini, bilangan mereka semakin ramai jadi semuanya sudah besar kepala,” tambah Kulopppppp.

“Tak lama lagi orang tempatan pun mereka berani kacau dan buat hal,” jelas pecintarasul.

Menurut pemilik video, kawasan berkenaan sememangnya didiami ramai warga asing dan mereka semakin kerap menimbulkan kekecohan sejak kebelakangan ini.

Belum ada sebarang maklumat lanjut dan kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram