[VIDEO] 'Riders' sepakat cekup penculik pandu Vellfire putih


  • Tular
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Tangkap layar sekumpulan motosikal mengejar sebuah kenderaan Toyota Vellfire putih pada Khamis.

TULAR satu video di media sosial memaparkan sekumpulan motosikal mengejar sebuah kenderaan Toyota Vellfire putih sejak Khamis.

Dipercayai, aksi mengejar kenderaan suspek melibatkan sebuah kes culik seorang lelaki di Ampang, Selangor.

Rakaman video itu dikongsikan oleh seorang warganet Carlsson Rizal di halaman Facebook Warga Ampang/Pandan Jaya/Pandan Indah.

"Hati-hati, dengar cerita bermula di Mid Point, Pandan Indah, Kula Lumpur," dakwanya.

Dalam video tersebut, turut kedengaran suara penunggang motosikal terbabit yang menjerit memberitahu orang awam tentang kes culik tersebut.

"Untuk info, ada kes culik sekarang.

"BNB8**1 culik orang. Bang dia culik orang bang.

"Bang tahan kereta, bang tahan," jeritnya pada warga awam yang berada di jalan raya itu.

Video berdurasi lebih seminit itu telah mendapat 3, 400 tontonan setakat ini dan mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 5.03 petang berhubung kes terbabit.

"Siasatan dapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun merupakan seorang ahli perniagaan yang mana sebelum kejadian telah pergi makan seorang diri ke restoran berkenaan.

"Semasa di dalam restoran berkenaan, telah datang sekumpulan suspek dipercayai lelaki tempatan telah menarik dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta Vellfire putih.

"Mangsa menjerit meminta tolong dan cuba untuk melepaskan diri namun tidak berjaya.

"Mangsa juga dilarikan menaiki kereta Vellfire dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan itu.

New IPD Ampang Jaya chief ACP Mohamad Farouk Eshak. — SAMUEL ONG/ The Star.

Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 5.03 petang berhubung kes terbabit.

Menurutnya lagi, pada Khamis pukul 10.45 malam, mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya dan dipercayai mangsa telah dilepaskan di Klang selepas kejadian.

"Mangsa mengalami beberapa kecederaan luka di kaki serta muka akibat kejadian dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang.

"Dipercayai, punca kejadian akibat masalah hutang dengan pihak majikan.

"Dalam kejadian ini juga turut tular di laman sosial Whatapps tentang kejadian berlaku yang melibatkan sebuah kenderaan Toyota Vellfire warna putih," katanya.

Mohamad Farouk turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk awam yang cuba membantu dalam kejadian berkenaan.

"Usaha mengesan suspek yang telah dikenal pasti sedang giat dijalankan," jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram