TEGURAN seorang wanita terhadap perbuatan seorang lelaki yang melastik anjing liar yang berada di kawasan hadapan rumahnya di Bandar Teknologi Kajang, Kajang, Selangor mencetuskan pertengkaran dan kekecohan hingga kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan seorang wanita pada pukul 11.30 pagi, Jumaat lepas.
Beliau berkata, wanita berkenaan mendakwa ternampak seorang lelaki melastik anjing liar di hadapan rumahnya dan bertindak menegur lelaki terbabit.
Katanya, suami wanita itu kemudiannya pergi ke rumah lelaki tersebut untuk menegur dan menasihatinya supaya tidak melakukan perbuatan mendera atau khianat ke atas haiwan.
"Hal tersebut menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
"Oleh kerana tidak puas hati pengadu telah membuat satu laporan polis dan menularkan video berkaitan kejadian tersebut di Facebook," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Zaid berkata, pihaknya turut menerima satu laporan berasingan pada Sabtu, pukul 8.55 malam melibatkan rakaman tular insiden berkenaan.
Menurutnya, dalam rakaman itu, seorang lelaki yang dipercayai jiran suspek pergi ke rumahnya untuk menasihatinya supaya tidak menganiaya mahupun mendera haiwan termasuk anjing di dalam kejadian tersebut.
"Di dalam video tersebut memaparkan sekumpulan lelaki telah mendekati pengadu yang ketika itu memberi nasihat berkenaan layanan baik terhadap haiwan dan tidak melakukan penganiayaan yang bukan sahaja bersalahan dari sudut agama, tetapi juga undang-undang.
"Kemudian tiba-tiba keadaan menjadi tidak terkawal apabila berlaku kekecohan (jerit-menjerit dengan perkataan kesat) dan pengadu telah dicekak di bahagian leher baju oleh salah seorang lelaki lain yang tidak puas hati dengan pengadu.
"Pengadu berasa terancam dengan perbuatan lelaki tersebut, justeru terus membuat laporan polis demi keselamatan diri seandainya ada perkara tidak diingini berlaku di kemudian hari," katanya.
Katanya, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan/ 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman tiga tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Kes turut disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan/ 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 jika disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhamad Ali bin Hamzah di talian 019-8660324 bagi membantu siasatan.
Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi negatif mengenai kejadian ini yang boleh mendatangkan isu ketenteraman awam kerana ianya masih di dalam siasatan pihak polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram