[VIDEO] 'Kau masuk campur kenapa?' — 'Abang kawasan' maki wanita, simbah anjing guna air panas sampai mati


  • Tular
  • Isnin, 19 Sep 2022

Tangkap layar memaparkan pergaduhan antara dua kumpulan terbabit yang tular di Twitter sejak Ahad.

TULAR satu video menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita bertikam lidah, dipercayai akibat tidak puas hati dengan tindakan salah seorang suspek yang menyimbah air panas terhadap seekor anjing sampai mati.

Video tersebut mula tular sejak Ahad selepas dimuat naik oleh @nanmanjoi8715 di akaun Twitter.

"Lelaki itu menyimbah air panas pada anjing sehingga menyebabkan haiwan itu mati.

"Orang awam di tempat kejadian tegur dia dan maaf tiada info lanjut setakat ini," katanya.

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus selepas wanita tersebut menegur tindakan lelaki berbaju putih menyimbah air panas pada anjing berkenaan.

Dalam video tersebut turut kedengaran seorang lelaki mendakwa kawasan itu miliknya.

"Ini kawasan aku, kau masuk campur kenapa?," katanya kepada wanita tersebut.

Keadaan menjadi lebih tegang selepas lelaki yang didakwa membunuh haiwan itu menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada perempuan berkenaan.

Kedua-duanya kelihatan saling menolak antara satu sama lain dan orang awam yang berada di tempat kejadian turut cuba meleraikan pergaduhan itu.

Video berdurasi lebih daripada seminit itu kini sudah ditonton lebih daripada 1,300 kali setakat ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.

Belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram