Bermaharajalela di jalan, perarakan van bawa mayat di Meru bikin ramai berang


  • Tular
  • Ahad, 18 Sep 2022

Tangkap layar sekumpulan lelaki menggunakan motosikal dan kereta menghalang jalan utama bagi mengiringi van jenazah.

TINDAKAN sekumpulan lelaki bermotosikal dan kereta menghalang jalan utama bagi mengiringi van jasad baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Walaupun ia dianggap usaha yang murni namun ada juga yang mengecam tindakan mereka kerana dilihat seolah-olah mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Bahkan ada yang beranggapan tindakan itu mementingkan diri sendiri kerana ia membabitkan perarakan van mayat individu yang berpengaruh.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Meru, Klang.

Melalui video tular yang dimuat di halaman Facebook We are Malaysians pada Sabtu itu menunjukkan sekumpulan lelaki menghalang jalan utama di sebuah persimpangan lampu isyarat bagi memberi laluan kepada van membawa mayat melalui jalan tersebut.

"Pengebumian untuk ketua gangster.

"Beberapa jalan telah dihalang oleh ahli-ahli kumpulan kongsi gelap dan rakan-rakan mereka bagi mengiringi si mati," tulisnya.

Menerusi rakaman video lebih daripada seminit itu kelihatan beberapa pengguna lain terpaksa memberhentikan kereta untuk memberi laluan kepada van berkenaan.

Malah sekumpulan lelaki itu juga dilihat tidak menggunakan topi keledar dan membuat bising dengan membunyikan ekzos motosikal.

Video itu telah mendapat lebih daripada 36,000 tontonan setakat ini.

Menjengah ke ruangan komen, ada di antara warganet yang mempersoalkan tindakan sekumpulan lelaki itu yang dianggap mementingkan diri sendiri.

Menurut Mohdnorkamariza Mohamed, tindakan sekumpulan individu yang tidak menggunakan topi keledar itu tidak boleh diterima.

"Sudahlah tidak menggunakan topi keledar, halang jalan lagi. Minta polis pantau,"katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna maya Sebastian meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap sekumpulan lelaki tersebut.

"Tolong ambil tindakan, nampak sangat sudah menyalahi undang-undang," tulisnya.

Belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa berkenaan kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram