Kecoh satu Malaysia, 5 kes culik murid sekolah sepanjang 2022


  • Massa
  • Khamis, 29 Sep 2022

Bertebaran mesej palsu yang mendakwa kanak-kanak diculik akan dibawa ke negara sempadan untuk penjualan organ.

KES dakwaan cubaan culik membabitkan murid sekolah menjadi topik paling hangat diperkatakan di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Dakwaan ini bukan sahaja berlaku di satu tempat, malah kes tersebut dilaporkan terjadi sejak bulan September sehingga kini di beberapa negeri seperti di Pahang, Kelantan, Perak, Kedah dan Selangor.

Pelbagai kisah penculikan dikongsi netizen di media sosial sehingga menimbulkan keresahan banyak pihak terutamanya ibu bapa dan sekolah.

Bagaimanapun, bukan semua kisah yang dikongsi benar-benar terjadi dan kesahihannya masih menjadi persoalan, terdapat juga beberapa kes telah disahkan palsu oleh pihak berkuasa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dan menyebarkan berita tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya.

Individu yang dikesan menyebarkan sebarang berita palsu, boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Berikut adalah lima kes culik yang menjadi bualan masyarakat sejak kebelakangan ini.

1744538

Tangkap layar video yang memaparkan dua wanita dipercayai cuba menculik seorang kanak-kanak.

1. Genting Highlands, Pahang

Pada 20 September lalu, polis menjalankan siasatan video tular selepas seorang lelaki mendakwa anak rakannya hampir diculik dua wanita warga asing ketika berada di Genting Highlands, Pahang.

Dakwaan tersebut bertukar kecoh selepas video berkenaan tersebar secara meluas di media sosial.

Polis menjalankan siasatan bagi mengesan pemilik akaun TikTok yang menyiarkan video tersebut bagi memastikan kesahihan dakwaan penculikan.

download

Suspek disyaki cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan sebelum cedera dipukul orang ramai.

2. Kota Bharu, Kelantan

Sementara pada 26 September 2022, timbul pula kes penculikan di Kota Bharu, Kelantan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan.

Suspek merupakan seorang lelaki yang dicekup sebelum cedera dipukul orang ramai yang berada di lokasi selepas dikatakan cuba menculik kanak-kanak untuk menjual organ di negara jiran.

Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi memastikan kesahihan kejadian tersebut.

majoriti2022 - 1

Laporan polis dibuat ibu mangsa selepas anaknya nyaris diculik.

3. Rawang, Selangor

Pada tarikh yang sama, terdapat satu lagi dakwaan nyaris diculik individu tidak dikenali melibatkan seorang murid lelaki tahun satu di Taman Tun Teja, Rawang, Selangor.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa dihampiri seorang lelaki yang bertindak menutup mulutnya ketika mahu membeli aiskrim di luar kawasan sekolahnya.

Mangsa mendakwa telah menggigit tangan suspek selepas teringat pesanan gurunya agar bertindak sedemikian sekiranya diculik.

4. Ipoh, Perak

Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan cubaan melarikan seorang murid perempuan di hadapan sebuah sekolah rendah di Taman Pinji Mewah, Ipoh, Perak pada 23 September 2022.

Ibu mangsa mendakwa anaknya telah diajak keluar oleh seorang lelaki sebelum suspek cuba menangkap anak perempuannya masuk ke dalam sebuah van berwarna putih.

Bagaimanapun mangsa sempat menggigit tangan dan melarikan diri. Bimbang akan keselamatan anaknya, ibu mangsa membuat laporan polis bagi menyiasat kejadian tersebut.

5. Kulim, Kedah

Dalam pada itu, polis menafikan kejadian culik membabitkan murid sekolah di Taman Angsana, Kulim, Kedah pada Selasa.

Kanak-kanak berusia 11 tahun itu mendakwa seorang lelaki tidak dikenali menculik dia dan abangnya yang berusia 13 tahun.

Namun selepas siasatan dilakukan, polis mendapati laporan dilakukan adalah palsu selepas kanak-kanak itu mengakui takut dimarahi keluarga kerana pulang lewat ke sekolah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

dakwaan, culik, polis, murid, sekolah, penculikan, ibu bapa, kes