BELUM reda kes cubaan culik membabitkan murid sekolah di beberapa negeri seperti Terengganu, Johor dan Selangor, timbul pula kejadian terbaharu di Baling, Kedah pada Khamis.
Menurut perkongsian Aziyanti Azizan di Facebook, anak saudaranya didatangi seorang wanita yang mendakwa rakan ibunya.
"Anak saudara saya memberitahu kejadian berlaku pada bulan lalu, terdapat seorang wanita yang datang ke sekolahnya di sekitar Baling, Kedah.
"Wanita itu tunggu di pagar sekolah dan memberitahu bahawa ibunya menyuruh dia membawa anak saudara saya pulang ke rumah.
"Nasib baik anak saudara tak ikut sebab dia pelik kenapa wanita itu mengaku kawan sedangkan tidak pernah melihat dia bersama ibu," katanya pada Khamis.
Perkongsian Aziyanti di Facebook berhubung cubaan culik membabitkan anak saudaranya.
Aziyanti berkata, ibu mangsa akan membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan.
"Kita akan membuat laporan polis dan menyerahkan laporan tersebut kepada sekolah sebagai langkah berjaga-jaga supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.
"Semoga anak-anak kita semua sentiasa dilindungi Allah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram