KEHILANGAN wang simpanan dalam tempoh yang singkat bukan sahaja menyedihkan, malah boleh menyebabkan seseorang itu terduduk mengingatkan hasil penat lelah selama ini lesap begitu sahaja.
Terbaharu, seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM90,194 selepas terpedaya dengan taktik licik sindiket penipuan ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Nik Najwa berkata, kehilangan wang simpanan dalam tempoh yang singkat bukan sahaja menyakitkan malah menyebabkan dia kehilangan arah dalam hidup.
"Saya kaku melihat wang simpanan selama ini berjumlah RM90,194 hanya tinggal RM100 dalam tempoh yang singkat. Tak sedar saya telah memindahkan sejumlah wang sebanyak itu.
"Saya hanya mampu menangis ketakutan dan bagai nak gila memikirkan kerugian yang terpaksa ditanggung selepas terpedaya dengan tindakan licik scammer.
"Saya telah membuat laporan polis dan serahkan kepada mereka untuk melakukan siasatan," katanya menerusi laman Facebooknya pada Rabu.
Tangkap layar memaparkan transaksi yang dilakukan.
Sementara itu, kecoh di media sosial selepas netizen mempersoalkan tahap keselamatan sesebuah bank yang begitu mudah membenarkan transaksi dalam jumlah yang banyak.
Seorang netizen, Medina Lyna berkata, bank harus mengetatkan lagi proses transaksi sekiranya terdapat pemindahan wang dalam jumlah yang banyak.
"Bank dah kena kuat kuasa transaksi lebih RM5,000 dalam sehari dengan cara pemilik akaun diminta menghubungi bank sendiri atau datang sendiri ke bank berdekatan untuk membuktikan transaksi.
"Selagi tiada pembuktian, transaksi tidak boleh dilakukan. Ini nampak sedikit sukar dan menyusahkan namun transaksi akan menjadi lebih selamat," jelasnya.
Sementara itu, Ehsan Borhan berkata, kejadian seumpama ini menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan untuk menyimpan wang di bank.
"Bank yang jadi tali barut, mungkin kerja orang dalam. Kalau bank melakukan kesalahan dalam transaksi, mereka (bank) boleh menarik balik transaksi tersebut.
"Namun, sekiranya kesalahan transaksi dilakukan pengguna, bank akan menyalahkan pengguna atas kecuaian sendiri.
"Pakat-pakatlah jangan simpan duit dalam jumlah yang banyak dalam bank, baik simpan sendiri lebih selamat," jelasnya.
Dalam pada itu, Rosna Esa berkata, pihak berkuasa dan perbankan harus melakukan sesuatu bagi mengelak kejadian sama berulang.
"Pihak kerajaan dan berautoriti harus lakukan sesuatu. Takkan selamanya nak biar rakyat kena buli dengan scammer macam ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram