Pergelangan tangan hampir putus, anggota polis parah ditetak penagih dadah


  • 112
  • Selasa, 27 Sep 2022

Keadaan pergelangan tangan anggota polis yang hampir putus selepas ditetak seorang penagih dadah.

PERGELANGAN tangan kiri seorang anggota polis berpangkat Inspektor hampir putus selepas ditetak seorang penagih dadah dalam kejadian di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Kejadian berlaku pada pukul 3.45 petang ketika Inspektor Mohd Zulhusni dan Lans Koperal Mohd Ridzuwan bersama lima pegawai rendah polis menjalankan siasatan melibatkan seorang suspek yang didakwa mengamuk dengan sebilah parang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek yang menaiki trak pikap jenis Nissan Navara telah mengamuk dan melanggar kereta jenis Honda Accord milik abangnya.

"Suspek juga menghempas pasu bunga pada kereta Honda Accord tersebut sebelum mengejar abangnya dengan sebilah parang.

"Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis telah ke rumah suspek yang tinggal di sebelah rumah abangnya di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

WhatsApp Image 2022-09-27 at 2.57.32 PM

Lans Koperal Mohd Ridzuwan

Mohd Iqbal berkata, suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa enggan memberi kerjasama dengan mengunci rumah tersebut.

"Sebaik berjaya memecah masuk, suspek tiba-tiba melibas parang ke arah Lans Koperal Mohd Ridzuwan, 31, sebelum satu das tembakan dilepaskan untuk mempertahankan diri.

"Bagaimanapun, suspek terus menyerang dan menyebabkan Lans Koperal Mohd Ridzuwan mengalami kecederaan parah pada pergelangan tangan kiri sehingga tiga jari tidak boleh digerakkan," katanya.

WhatsApp Image 2022-09-27 at 3.17.50 PM (1)

Tiga jari Lans Koperal Mohd Ridzuwan tidak boleh digerakkan selepas ditetak.

Tambah Mohd Iqbal, suspek bagaimanapun berjaya ditahan namun ketika proses penahanan, seorang lagi anggota polis, Inspektor Mohd Zulhusni, 30, turut mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kanan.

"Suspek didapati positif tiga jenis dadah iaitu methamphetamine, amphetamine dan tetrahydrocannibinol (THC). Suspek juga mempunyai rekod lampau bersabit Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana mengasari pihak berkuasa.

"Suspek dibenarkan reman selama tiga hari sehingga Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram