Kekalkan sistem sedia ada, SBA umpama memperjudikan hasil kutipan negara — Cuepacs


  • Massa
  • Rabu, 28 Sep 2022

SBA mengambil alih keseluruhan peranan dan tugas agensi kerajaan yang berada di pintu masuk negara.

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah sepenuhnya pelaksanaan dan penubuhan Single Border Agency (SBA) yang akan mengambil alih keseluruhan peranan serta tugas agensi kerajaan yang berada di pintu masuk negara termasuk pelabuhan dan lapangan terbang.

Untuk rekod SBA bermaksud agensi tunggal yang bertanggungjawab menjaga semua pintu masuk negara.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya berpandangan, agensi sedia ada yang mengawal pintu masuk negara sudah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

"Kenapa tugas ini diberikan kepada agensi baharu yang masih belum diketahui keberkesanannya. Ia seumpama memperjudikan hasil kutipan negara sekiranya tertubuh SBA.

"Mengambil contoh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), jabatan ini bukan sahaja mengawal pintu masuk negara tetapi bertanggungjawab memungut pelbagai cukai yang menyumbang kepada hasil negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Adnan berkata, pihaknya yakin agensi lain yang bersama-sama menjaga pintu masuk negara turut melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan berkesan.

"Sistem kawalan pintu masuk pelbagai peringkat agensi seperti yang dikuatkuasakan sekarang adalah lebih baik dari dikawal hanya satu agensi sahaja.

"Contohnya, jika barangan yang diimport adalah ubat-ubatan, JKDM tidak boleh melepaskan dagangan tersebut sebelum diberi kelulusan pihak Farmasi. Begitu juga dengan barang dagangan yang memerlukan kelulusan agensi lain," jelasnya.

Tambah Adnan, sekiranya terdapat kekurangan dalam pengoperasian pintu sempadan negara, kerajaan boleh menambah baik pengoperasian tersebut dan bukannya bertindak menggantikan dengan agensi baharu.

"Koordinasi yang lebih baik antara agensi kerajaan di pintu masuk negara boleh diwujudkan sekiranya perkara ini diperhalusi dengan baik.

"Kerajaan sewajarnya melakukan rundingan dan sesi libat urus bersama wakil-wakil dan kesatuan pekerja dalam apa jua keputusan yang membabitkan pemerkasaan perkhidmatan awam.

"Rundingan dan sesi libat urus ini mampu memberi keputusan menang-menang antara majikan dan pekerja sekali gus memperkasakan perkhidmatan kerajaan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram