[VIDEO] Pemandu van buka beg hulur 'duit kopi', mudah selesai hal saman dekat Pasar Borong Pandan


  • Tular
  • Rabu, 28 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang pemandu yang ditahan polis peronda akibat kesalahan lalu lintas dilakukan.

ISU rasuah kian meruncing dalam kalangan penduduk mahupun penguatkuasa yang bertugas kerana perbuatan itu dilihat masih berlarutan sehingga ke hari ini.

Perkara itu bukan sahaja boleh menjatuhkan imej seseorang, malah turut mewujudkan isu penindasan kepada mangsa rasuah.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian video dimuat naik di laman TikTok yang memaparkan satu insiden apabila seorang pemandu dipaksa bayar 'duit kopi' ketika ditahan polis.

Difahamkan, kejadian itu berpunca akibat kesalahan lalu lintas yang dilakukan pemandu berkenaan hinggakan dia ditahan polis berhampiran Pasar Borong Pandan, Johor Bahru di Johor.

Susulan kesalahan yang dilakukan, lelaki tersebut kemudiannya diarahkan untuk keluar daripada kenderaan untuk diserahkan kertas saman.

Namun insiden saman itu didakwa berubah kepada kes rasuah apabila pemandu van terbabit dilihat mengeluarkan dompet daripada beg galasnya dan menghulurkan wang kepada polis berkenaan.

Meskipun jumlah duit ataupun jenis kesalahan tidak diketahui, pemilik akaun TikTok terbabit mengesahkan bahawa kejadian itu sememangnya kes rasuah apabila anggota polis terbabit bertindak meminta wang jika ingin bebas daripada dikenakan saman.

“Bukti memang ada sebab pemandu itu kawan saya dan insiden itu boleh dikatakan sebagai rasuah,” kata pemilik akaun itu.

Menerima lebih 50,000 jumlah tontonan, rata-rata warganet turut meninggalkan komen berhubung isu tersebut.

“Saya pun pernah kena situasi sama, polis tawarkan RM50 daripada kena bayar RM300,” kata Zul.

“Macam ini la situasi yang sering berlaku, polis memang keluarkan saman tapi orang boleh bagi duit tepi kalau nak dibebaskan,” jelas Wkimi.

“Saya pernah kena, masa itu peronda polis keluarkan saman RM400 tetapi polis minta RM300 sahaja dan kebetulan saya memang tak ada duit ketika itu, tapi akhirnya saya tak perlu bayar saman pun,” tambah insanbiasa425.

Majoriti sedang mendapatkan maklum balas daripada pemilik akaun TikTok untuk ketahui lebih info. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram