[VIDEO] Cubaan culik budak gagal, suspek 'masak' kena belasah secara berjemaah dekat masjid Kota Bharu


  • Tular
  • Selasa, 27 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan suspek kes culik cedera dipukul penduduk di Kota Bharu, Kelantan.

SATU demi satu kes penculikan dilaporkan berlaku di Kota Bharu, Kelantan seperti mana yang didedahkan netizen di media sosial. Terbaharu, seorang lelaki yang didakwa cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan berjaya dicekup orang ramai dalam kejadian pada Isnin malam.

Kejadian yang berlaku berhampiran sebuah masjid Kota Bharu, Kelantan itu menyaksikan suspek cedera dipukul orang ramai di lokasi tersebut.

Tular di laman sosial Facebook sejak Selasa, video berkenaan dikongsikan oleh salah seorang saksi yang berada di lokasi kejadian.

Difahamkan, cubaan menculik itu disedari orang awam yang kebetulan melalui kawasan terbabit dan suspek yang menaiki motosikal terlebih dahulu ditahan sebelum dipukul beramai-ramai.

Saksi kejadian yang juga pemilik video, Danial, 18, mendakwa, penculik berjaya ditahan orang ramai dan dia dipukul agak teruk di kepala dan badan.

“Suspek menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan dipukul sehingga cedera.

“Kebetulan saya berada di situ dan orang ramai dah mula berhimpun dan pukul suspek tapi masih belum ada sebarang info terkini berkenaan suspek itu kerana dia nampak seperti warga asing.

“Mangsa budak perempuan berjaya diselamatkan dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” dakwanya kepada Majoriti.

Pihak polis difahamkan sedang menjalankan siasatan berkenaan kes penculikan terbabit dan belum ada sebarang kenyataan dari polis Kelantan setakat ini.

Majoriti sedang mendapatkan kenyataan lanjut pihak berkuasa berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram