[VIDEO] Lelaki hilang sebelah kaki dihimpit Proton Saga buat pusingan U 'haram'


  • Tular
  • Selasa, 27 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang penunggang motosikal tercampak ke laluan bertentangan selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kuala Krai, Kelantan.

SEORANG penunggang motosikal mengalami kecederaan parah apabila kakinya terputus selepas terlibat dalam satu kemalangan tragis di Kuala Krai, Kelantan pada Isnin.

Kemalangan terbabit berpunca daripada sebuah kereta yang didakwa menyalahi undang-undang jalan raya apabila cuba membuat pusingan U di laluan tidak sepatutnya.

Dikongsikan menerusi rakaman kamera litar tertutup CCTV di jalan berkenaan, video itu tular dan hangat diperkatakan netizen di laman Facebook.

Dalam video itu, penunggang terbabit dilihat memandu dengan laju di sebelah lorong kanan sebelum dihimpit kenderaan tersebut yang cuba membuat pusingan U di laluan terbabit.

Akibat daripada insiden itu, mangsa tercampak ke arah bertentangan dan kakinya dilaporkan terputus di lokasi kejadian.

Menurut orang ramai di lokasi kejadian, pemandu kereta itu seharusnya dipersalahkan kerana membuat pusingan U di laluan yang salah.

Menurut Nanbesi, pemandu berkenaan tidak boleh membuat pusingan di situ kerana ia bukanlah lorong yang sepatutnya.

“Pemandu dari Kuala Krai tidak boleh buat pusingan U di situ, kalau nak buat, kena pergi ke stesen pam minyak Shell di hadapan,” katanya.

“Di situ sepatutnya tak boleh buat pusingan U, pemandu yang malas sahaja yang suka buat di situ walhal laluan yang sebenar berada di hadapan.

“Pihak Majlis ataupun JKR elok tutup sahaja jalan keluar dari arah pantai timur itu biar semua kenderaan keluar di susur laluan hadapan,” jelas Nik Suhaimi Razi.

“Memang pemandu kereta itu bersalah, tetapi kepada penunggang motosikal di luar sana tolonglah jangan menunggang terlampau laju, atas jalan raya apa-apa sahaja boleh berlaku,” tambah Wan Nurshahrim.

Setakat ini masih belum ada sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden tersebut dan Majoriti sedang cuba untuk mendapatkan keterangan daripada pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram