[VIDEO] Cakap dialek Kashmir, lelaki bawa RM100 pukau mangsa di Seri Kembangan makin menjadi-jadi


  • Tular
  • Selasa, 27 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki dipercayai warga asing menggunakan taktik penipuan pukau di sebuah klinik haiwan sekitar Seri Kembangan, Selangor.

SEBUAH klinik veterinar haiwan di Seri Kembangan, Selangor dilaporkan mengalami kerugian akibat kes pukau yang dilakukan seorang warga asing dari utara India.

Suspek yang dikatakan ingin membeli makanan kucing didakwa mula mengeluarkan kata-kata yang tidak difahami menggunakan dialek Kashmir.

Kejadian itu dikongsikan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di klinik berkenaan dan hangat diperkatakan di laman TikTok.

Difahamkan, suspek yang merupakan warga asing berjaya melarikan duit sebanyak RM118 daripada kaunter juruwang klinik berkenaan.

Menurut pemilik klinik tersebut, lelaki terbabit didakwa sengaja memutar belit percakapan apabila menggunakan bahasa pelik ketika bertutur.

Menurut mangsa pukau, Katiha Aizreen, 24, dia mula berasa khayal dan tidak sedarkan diri ketika kejadian.

“Lelaki itu mula-mula datang untuk beli makanan kucing berharga RM5.50 tapi dia minta diskaun.

“Selepas itu dia minta tukar barang lain dan mula cakap yang bukan-bukan dalam bahasa pelik, saya pun mula gelabah dan tidak lama selepas itu saya tidak sedarkan diri.

“Tanpa saya sedar, saya bagi duit baki dan juga pulangkan duit RM100 kepada lelaki itu sebab memang tak tahu apa yang berlaku ketika itu,” katanya kepada Majoriti.

Malahan, warga asing terbabit juga keluar dengan selamat tanpa dihalang pekerja lain yang bertugas.

“Dia beredar begitu sahaja dengan duit yang diambil dari klinik kami, selepas itu baru saya ke kedai berhampiran untuk memaklumkan kepada mereka.

“Rupa-rupanya banyak kedai yang mengalami nasib sama apabila kesemuanya ditipu dengan taktik dan lelaki sama.

“Kira-kira empat sehingga lima kedai telah menjadi mangsa lelaki berkenaan,” katanya.

Menerima lebih 700,000 jumlah tontonan, rata-rata netizen meninggalkan komen berhubung isu tersebut.

Ecah berkata, dia turut melalui detik serupa apabila lelaki berkenaan pernah datang di kedainya dan meminta untuk membuat penukaran wang.

“Ya saya pun pernah tertipu dengan lelaki itu, dia bawa duit RM100 dan kemudiannya bercakap dalam bahasa yang pelik,” katanya.

“Saya pun pernah terkena dengan lelaki sama, dia bawa duit RM100 nak beli baju berharga RM8 tetapi bila saya buka laci kaunter tanpa saya sedar habis semua duit diberikan kepadanya,” jelas azitanur423.

“Saya rasa itu bukan bahasa pertuturan, tapi lebih kepada ayat ataupun bacaan pukau yang sengaja dibacakan,” tambah ElshopOI.

Kejadian itu telah dilaporkan kepada pihak polis dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram