[VIDEO] Mengamuk di kelab malam, lelaki rempuh 2 mangsa sampai terkulai di JB


  • Tular
  • Rabu, 28 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan suspek yang memandu sebuah kenderaan bertindak melanggar dua lelaki di Taman Molek, Johor.

AKIBAT pergaduhan di sebuah kelab malam, seorang lelaki bertindak melanggar dua individu di Taman Molek, Johor Bahru selepas ketiga-tiganya difahamkan saling bertelingkah.

Difahamkan pergaduhan itu bermula di sebuah kelab malam dan berlarutan sehingga ke luar premis yang mengakibatkan pelanggaran tersebut.

Kejadian itu tular dalam kalangan netizen apabila video insiden berkenaan dikongsikan di laman media sosial Facebook.

Menerusi video tersebut, suspek yang memandu sebuah kereta dilihat merempuh dua mangsa sehingga kedua-duanya terkulai di tengah jalan.

Terkejut dengan insiden tersebut, rata-rata penduduk di situ keluar memberikan bantuan kepada mangsa langgar dan difahamkan kenderaan tersebut turut melanggar beberapa kenderaan lain di kawasan terbabit.

Akibat pelanggaran itu, mangsa lelaki berusia 35 dan 36 tahun berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Susulan itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam telah menangkap suspek berusia 30 tahun itu di Jalan Persisiran Seri Alam, Masai di Johor.

Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian urin menunjukkan negatif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram