TINDAKAN seorang pekerja di sebuah premis makanan dalam pasar raya yang biadab kepada pelanggan mengundang kemarahan seorang lelaki apabila memuat naik video di laman TikTok.
Kejadian yang berlaku di medan selera pusat membeli-belah di Nilai, Negeri Sembilan itu menerima kecaman ramai susulan tingkah laku buruk yang dipamerkan pekerja wanita di premis terbabit.
Selain isu tingkah laku, tahap kebersihan restoran itu turut dipertikaikan oleh lelaki berkenaan.
Berdasarkan video tersebut, lelaki berkenaan tidak berpuas hati susulan pekerja itu yang memberikan reaksi muka masam ketika dia meminta makanan yang dipesan untuk dibungkus.
Masih tenang mengawal kemarahan, lelaki berkenaan kemudiannya menegur mengenai kebersihan makanan di kedai itu yang terdedah kepada kuman dan lalat namun sekali lagi dia diberikan layanan buruk oleh pekerja terbabit.
Difahamkan, bermula daripada detik itu pekerja terbabit bertindak kasar apabila sengaja menghempas pinggan dengan kuat tanda protes kerana teguran itu.
Pekerja itu juga didakwa tidak mengucapkan terima kasih kepada pelanggan, selain tidak mempedulikan kehadiran pelanggan kecuali asyik berbual dengan rakannya.
Menerima lebih 58,000 jumlah tontonan, kejadian itu turut menerima kecaman ramai warganet yang rata-ratanya pernah menerima nasib yang sama di premis berkenaan.
“Bukan nak kata apa, tetapi kedua-dua premis itu memang teruk dan layanan pekerja dia sangat kurang ajar,” kata noorhusnaaa.
“Memang kenal sangat dengan pekerja di restoran itu, takda duit kecil pun dia punya layanan macam kita minta makanan percuma,” jelas Misz Balqis.
“Kalau pekerja dia marah, marah je balik sebab saya kalau nampak makanan kena hinggap lalat memang tak akan beli daripada awal lagi,” tambah Firra Fazlyin.
Di akhir rakaman video, lelaki berkenaan turut berpesan kepada orang ramai agar berhati-hati sekiranya berkunjung ke restoran tersebut supaya tidak terkejut dengan layanan buruk yang bakal diterima. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram