[VIDEO] Keluarga buntu, misteri wanita hilang ikut teman lelaki baru dikenali di Mukah


  • Tular
  • Khamis, 22 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang wanita dipercayai hilang selepas dilarikan teman lelakinya di Mukah, Sarawak.

SEORANG wanita dilaporkan hilang akibat dibawa lari teman lelaki yang baru sahaja dikenalinya di Mukah, Sarawak baru-baru ini.

Meskipun baru sahaja berkenalan dalam tempoh yang singkat, mangsa Nur Akma Riza, 30, didakwa hilang selepas mengekori lelaki berkenaan yang menunggang motosikal jenis Demak DTM 200.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 12.00 tengah malam apabila suspek dipercayai datang untuk menjemput mangsa di kediaman rumahnya yang terletak di Taman Li Hua, Mukah.

Ketika itu, pihak keluarga difahamkan tidak menyedari situasi tersebut namun kejadian itu dilihat dan dirakamkan oleh salah seorang jiran di kawasan rumahnya.

Memuat naik perkongsian di Facebook, kronologi kehilangan Akma boleh dilihat menerusi akaun peribadi abang mangsa, Mohd Syaiffudin Soffian.

Berdasarkan maklumat diterima, pihak keluarga gagal menghubungi telefon pintar mangsa meskipun beberapa kali mencuba dan kali terakhir suaranya dapat didengari adalah menerusi pesanan mesej suara yang diterima.

Suara mangsa dikatakan dalam keadaan cemas dan mencurigakan sekali gus menyebabkan keluarganya tertanya-tanya akan status terkini Akmar.

Mohd Syaiffudin mendakwa, dia sekeluarga telah pergi ke kediaman suspek untuk mencari adiknya namun masih gagal.

"Kami berjaya mencari rumah suspek menerusi carian di Facebook namun adik saya masih tiada di situ.

"Dia tinggal bersama saudaranya dan kami dimaklumkan ramai gadis di luar sana yang turut menjadi mangsa penipuannya sebelum ini.

"Dia juga dibuang keluarga kerana berkelakuan tidak senonoh dan suka menipu orang ramai," dakwanya kepada Majoriti.

Meskipun sudah membuat laporan polis, setakat ini masih belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai kehilangan tersebut.

Tambah Syaiffudin, laporan kehilangan adiknya mungkin sedikit sukar untuk ditemui berikutan ia bukanlah kes penculikan.

"Adik saya sudah berusia 30 tahun dan mungkin agak sukar untuk disiasat pihak polis kerana dia bukannya diculik.

"Sekiranya mangsa di bawah 18 tahun, ada kemungkinan kes siasatan akan dibuka di bawah kes culik dan lebih mudah untuk dijumpai," dakwanya.

Berdasarkan maklumat diterima, suspek dipercayai berada di sekitar daerah Sibu, Sarawak dan menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram