SETIAP ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anak sama ada daripada segi pelajaran, keselamatan mahupun kesihatan sehingga sangup berkorban wang ringgit dan apa sahaja demi mereka.
Bagi golongan ilmuan agama, pusat madrasah merupakan sumber rawatan terbaik bagi merawat sebarang penyakit dialami dan ia diyakini mampu diubati dengan ajaran serta amalan sunnah yang dituntut dalam ajaran Islam.
Namun lain pula kisahnya apabila seorang remaja lelaki yang dihantar ke sebuah madrasah di Shah Alam, Selangor didakwa menjadi mangsa dera ustaz dan tenaga pengajar di situ.
Kejadian itu dikongsikan menerusi bebenang (thread) di laman Twitter @hafizfiz18 yang menceritakan kejadian dera dialami adik lelakinya.
Menurutnya, pihak madrasah terlebih dahulu menetapkan syarat apabila mereka sekeluarga tidak dibenarkan melawat adiknya dalam tempoh empat bulan pertama rawatan.
Akibat itu, Hafiz dan keluarganya mengambil inisiatif dengan menghulurkan bantuan supaya dapat melawat adiknya sewaktu berada di situ, namun alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati fizikal adiknya kelihatan sangat semakin susut dan kulit bertukar gelap.
Cuba membawa adiknya pulang ke rumah, namun usaha mereka sekeluarga ditahan oleh pihak madrasah terbabit yang difahamkan enggan melepaskan remaja berkenaan.
Susulan kejadian itu, mereka hanya dibenarkan membawa pulang remaja tersebut selepas dikenakan denda kerana melanggar perjanjian dan ketetapan madrasah.
“Mereka tidak membenarkan adik saya dibawa pulang dan kami diminta untuk membayar pampasan sebanyak RM 11,970 untuk kerana langgar perjanjian.
“Kami membuat laporan polis, polis peronda datang pada malam itu tetapi tidak boleh berbuat apa kerana perjanjian telah ditandatangani,” ciapnya di Twitter sebelum tular sejak Jumaat.
Enggan berputus asa dan mahu menyelamatkan adiknya, Hafiz sekali lagi cuba memasuki ke madrasah tersebut secara senyap-senyap, namun masih gagal apabila kehadiran dia disedari pihak madrasah.
Situasi bertukar kecoh apabila beberapa ustaz di situ mula menggunakan kekerasan sebaik mangsa dera cuba untuk dibawa ke balai polis.
“Mereka telah memanggil semua pelatih dan warden kira-kira 50 orang yang ada di situ untuk kepung dan halang kami membawa adik keluar dari tempat tersebut.
“Abang saya telah ditumbuk dan saya terpaksa berhenti merakam untuk meleraikan pergaduhan, mereka terlalu ramai dan kami tidak mampu membalas serangan mereka.
“Kemudian mereka membawa adik saya ke dalam kereta untuk dilarikan namun dalam perjalanan itu polis berjaya menahan mereka,” dakwanya.
Pusat madrasah tersebut kini berada dalam siasatan polis dan remaja berkenaan dibenarkan dibawa pulang ke rumah selepas disoal siasat.
Kejadian penuh turut dimuat naik di laman YouTube pada Jumaat yang menjelaskan kronologi dan penderaan yang berlaku.
Selesai urusan di balai polis, mereka sekeluarga akhirnya dijelaskan dengan kisah penderitaan dialami mangsa apabila dia menceritakan segala kejadian zalim yang terjadi di madrasah tersebut.
Antara perlakuan kejam didakwa dilakukan tenaga pengajar di situ adalah jari kaki dan tangan pelajar disepit menggunakan jerujuk besi, kepala dipukul dengan besi (spanar), rahang mulut ditumbuk dan mereka dipukul beramai-ramai dengan paip hos oleh tenaga pengajar.
Lebih memilukan, pelajar turut didakwa mengalami gangguan seksual apabila zakar mereka ditarik dan dipukul sehingga senak perut dan disuruh memegang kemaluan pelajar lain.
Segala tindakan ustaz di madrasah itu sememangnya tidak masuk akal dan layanan yang diberikan saling tidak tumpah seperti seekor haiwan.
Difahamkan, madrasah yang ditubuhkan sejak 2007 itu melaksanakan program pemulihan dan perlindungan terhadap individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta masalah sosial.
Kes tersebut kini sedang di bawah siasatan pihak polis dan masih belum ada sebarang maklumat lanjut dilaporkan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram