[VIDEO] Cetakan wang tak sekata, dakwa mesin ATM keluar duit palsu di stesen minyak Johor


  • Tular
  • Khamis, 22 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan duit palsu yang diterima seorang wanita ketika mengeluarkan duit di mesin ATM di sebuah stesen minyak di Johor.

ISU penyebaran duit palsu dikatakan semakin meruncing dan berjaya mengaburi mata orang ramai menerusi refleksi cahaya pendarfluor kehijauan yang seakan-akan sama seperti duit asli.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian dimuat naik seorang wanita yang mendakwa dirinya menerima duit palsu ketika mengeluarkan duit di mesin pengeluaran automatik (ATM).

Kejadian itu yang difahamkan berlaku di salah sebuah stesen minyak di Johor, dikongsikan di laman TikTok Nur Shafiyyah.

Terkejut dengan duit yang diterima, wanita berkenaan mendakwa duit tersebut merupakan duit palsu berikutan cetakan di permukaan kertas itu yang nampak seperti tidak sekata.

Kecewa dengan nasib yang menimpa dirinya, secara tidak langsung menyebabkan duit itu tidak boleh digunakan di mana-mana premis perniagaan.

Menerima lebih 190,000 jumlah tontonan, rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman yang sama berkaitan isu tersebut.

Rostam berkata, dia pernah melalui nasib yang sama apabila mesin pengeluaran automatik memberikan duit yang terkoyak.

"Aku pernah kena benda yang sama di stesen minyak juga, duit sekeping terkoyak nak buat bayar duit sewa rumah pun tak sampai hati," katanya.

"Dulu saya pernah bekerja sebagai juruwang di pasar raya, banyak duit palsu macam tu yang saya terima," jelas mohammad mohd.

"Lakukan sesuatu dan buat aduan di pihak bank segera, kalau tak rugi duit tu semua tak boleh pakai," tambah Abg mie ku.

Namun sesetengah netizen turut berpendapat bahawa duit berkenaan masih sah digunakan dan boleh ditukar dengan not wang baharu di bank berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram