[VIDEO] 'Rider' tak mengaku belasah orang tua 80 tahun sampai tersembam depan khalayak di Tg Tokong


  • Tular
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang rider bertindak mengasari warga emas berusia 80 tahun di Jalan Fettes Park, Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

SEORANG warga emas dilaporkan mengalami kecederaan akibat ditumbuk bertubi-tubi oleh seorang penunggang penghantar barangan (p-hailing) di Jalan Fettes Park, Tanjung Tokong, Pulau Pinang pada Rabu.

Kejadian itu yang dirakamkan menerusi kamera dashcam salah seorang pemandu di situ, dikongsikan di laman Facebook 'Inforoadblock' sebelum mula tular di media sosial sejak Jumaat.

Video berkenaan memaparkan kecederaan dialami mangsa apabila dia dipaksa keluar dari kenderaannya sebelum dibelasah penunggang motosikal tersebut di lokasi kejadian.

Difahamkan, ia susulan penunggang tersebut yang dikatakan tidak berpuas hati dengan warga emas terbabit selepas masing-masing terlibat dalam satu kemalangan kecil sebelum itu.

Mengalami kecederaan parah di muka, kedua belah tangan dan lutut kanan, kekecohan itu bagaimanapun berjaya dileraikan orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut.

Berhubung kes itu, anggota Task Force dan Unit Rondaan Bermotosikal dari Balai Polis Pulau Tikus berkerah ke lokasi kejadian dan menahan suspek sebaik menerima laporan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong dalam kenyataannya berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif serta bebas daripada sebarang dadah.

Menurut beliau, penunggang motosikal tersebut ditahan reman selama tiga hari dan didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan mengaku tidak bersalah serta meminta untuk dibicarakan.

Tertuduh diberikan jaminan bernilai RM3,000 di Mahkamah Majistret Pulau Pinang pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram