[VIDEO] Gelandangan bikin kecoh di pusat niaga Miri, sering mabuk, bertindak kasar takutkan pelanggan


  • Tular
  • Khamis, 22 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang gelandangan menimbulkan kekecohan apabila bertindak agresif menghayun sebatang kayu ke arah pelanggan.

PEMILIK premis perniagaan di Old Folk Street Miri, Sarawak dikatakan mengalami kerugian berikutan gangguan gelandangan yang sering menimbulkan kekecohan di kawasan berkenaan

Kerap membuat kacau dan bermalam di situ, perilaku mereka turut mendatangkan ketakutan dalam kalangan pengunjung dan secara tidak langsung menyebabkan kerugian kepada pemilik premis.

Berdasarkan rakaman video dimuat naik di laman Facebook, beberapa gelandangan bertindak agresif dan menjerit ke arah pelanggan.

Salah seorang daripada gelandangan yang dipercayai mabuk mengganggu orang ramai apabila menjerit dan menghayun sebatang kayu secara rawak ke arah pelanggan.

Difahamkan, pemilik perniagaan di kawasan tersebut telah membuat laporan polis namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan dijalankan daripada pihak penguatkuasa.

Ketika dihubungi wartawan Majoriti, Balai Polis Miri Sarawak difahamkan masih sedang menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.

Kejadian itu masih dalam pantauan pihak polis dan segala info lanjut akan dimaklumkan kepada pemilik kedai yang membuat aduan.

Menerima lebih 200 perkongsian di laman Facebook, rata-rata netizen turut meninggalkan komen berkaitan isu terbabit.

Prince Vinca berpendapat, pihak atasan dan penguatkuasa perlu segera tampil memberi bantuan dan menangkap kesemua gelandangan di situ.

"Miri merupakan antara bandar yang bersih dan harmoni, tapi kenapa isu gelandangan macam ini masih tiada tindakan daripada pihak atasan.

"Pihak polis ataupun penguatkuas sepatutnya turun padang dan buat tinjaun segera, bukan hanya terima laporan dan berduduk diam sahaja," katanya.

"Kawasan situ sudah tidak selamat untuk berniaga, pemilik kedai nak cari makan pun makin susah sebab gelandangan makin ramai," jelas Nurhaliza Busri.

"Beberapa bulan lepas saya ada datang ke sini tapi ketika itu baru ada seorang atau dua orang gelandangan, tapi sekarang sudah semakin bertambah pula bilangan mereka," tambah Wei.

Majoriti sedang mendapatkan respons Majlis Bandaraya Miri berhubung isu itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram