TIGA lelaki dipukul penduduk kampung selepas ditangkap mencuri burung di sebuah kediaman berhampiran Kampung Pantai Mek Mas, Kota Bharu, Kelantan.
Kejadian yang berlaku pada waktu malam melihatkan pencuri tersebut dikepung orang ramai ketika ingin melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva.
Rakaman video tular itu dimuat naik di laman Facebook IRDK Respond Team dan menerima hampir 70,000 jumlah tontonan setakat ini.
Difahamkan, kejadian itu tercetus selepas pemuda berkenaan cuba melarikan seekor burung yang dipercayai berharga lebih RM10,000.
Keadaan menjadi lebih tegang selepas lelaki yang didakwa mencuri itu dipukul dengan besi oleh salah seorang penduduk di kawasan kampung berkenaan.
Seorang lagi pencuri dilihat terperangkap dalam kereta apabila orang ramai bertindak memecahkan tingkap dengan batu dan kayu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-ratanya mendesak agar pencuri dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Anuar Khan berpendapat, kejadian seperti ini sepatutnya dilaporkan kepada pihak polis dan bukannya dihukum dengan cara sebegini.
"Tak tahu nak kata apa, kalau serahkan kepada pihak polis bukan ke lebih baik, bukannya buat undang-undang sendiri nanti diri sendiri yang merana kena ditahan pihak polis," katanya.
"Kes curi burung bukannya curi manusia, tahan dan bawa ke balai polis lebih baik daripada sesuka hati pukul beramai-ramai sebab negara kita ada undang-undang," jelas Shazie Azjem.
"Pandai-pandai buat keputusan sendiri bukannya selesai pun masalah, sudahnya nanti orang kampung yang ditahan pihak polis," tambah Firraz Fazlyin.
Setakat ini masih belum ada keterangan lanjut daripada penduduk dan pihak polis berkaitan isu terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram