Teruk dibelasah bapa tiri, gadis trauma dipijak sehingga lebam satu badan


  • Tular
  • Rabu, 21 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan kecederaan serius dialami mangsa akibat penderaan dilakukan bapa tirinya.

KES penderaan sememangnya satu kejadian yang sukar dibendung dan sering dialami oleh pelbagai lapisan masyarakat khususnya dalam kalangan wanita.

Baru-baru ini tular di laman media apabila seorang wanita memuat naik perkongsian di laman Instagram berkenaan kes dera yang dialaminya.

Menjadi mangsa dera kepada bapa tirinya, Dahlia, 19, dikatakan mengalami trauma setelah tubuhnya dipijak dan disepak beberapa kali ketika melawat ibu kandungnya di Parit Buntar, Kerian Perak.

Kronologi kes dera yang dialami dikongsikan menerusi akaun peribadinya @d4hleea.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada pergaduhan yang berlaku antara mangsa dan juga ibu kandungnya.

Namun pertelingkahan itu bertukar tragedi apabila bapa tirinya mula masuk campur dan memukul Dahlia beberapa kali sehingga kepalanya terhantuk ke lantai.

Menerusi perkongsian dimuat naik, mangsa dipijak bertubi-tubi di bahagian kepala selain rambutnya ditarik dengan kasar.

"Dia pijak kepala saya berulang kali sambil hentak guna tumit kaki sehingga mata saya berdarah dan bengkak.

"Macam nak pecah kepala saya dipijak, dia kemudiannya tarik rambut dan lempang berkali-kali sampai saya tak boleh berkata-kata.

"Tak cukup dengan itu, saya diterajang sampai terhantuk kepala di pintu dan terhempas ke lantai, selepas itu dia ke dapur dan ambil parang nak tetak saya tetapi syukur kerana ada jiran datang dan dia terus tutup pintu," katanya.

Dahlia mengalami kecederaan serius di bahagian matanya akibat dipijak dan dipukul bapa tirinya.

Keesokan harinya, doktor yang membuat pemeriksaan ke atasnya dikatakan terkejut melihat kecederaan yang dialami olehnya.

Menurut Dahlia, kesan dari pukulan tersebut telah menyebabkan dia kini sukar untuk makan serta baring kerana kesakitan yang ditanggungnya. Dia juga turut mengalami masalah penglihatan akibat kecederaan di mata.

Meskipun sudah membuat laporan polis, bapa tirinya dilaporkan masih bebas di luar dan tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Perak, Superintendan Mazuki Mat berkata, kertas siasatan masih sedang dijalankan dan masih belum ada sebarang tindakan lanjut diambil pihak polis.

"Kertas siasatan masih belum lengkap dan segala tindakan undang-undang perlu melalui proses mahkamah sebelum suspek dijatuhi hukuman.

"Suspek telah ditahan semasa laporan dibuat dan segala keterangan daripada kedua belah pihak telah diambil untuk siasatan lanjut.

"Mangsa kena bawa kes ini ke mahkamah untuk urusan lanjut, baru kami boleh ambil tindakan," katanya kepada Majoriti.

Kes disiasat di bawah seksyen 323 kanun keseksaan akibat mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Turut mendapat perhatian ramai, selebriti Caprice juga memuat naik isu ini di laman Instagram peribadinya dan difahamkan sedang meneliti kes itu untuk memberikan bantuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram