[VIDEO] Insiden berdarah bikin kecoh di luar kelab malam KL, lelaki parah dilibas senjata tajam


  • Tular
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan serangan rusuhan yang berlaku di Trec, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang mengakibatkan mangsa cedera parah di belakang badan.

SEORANG lelaki warganegara Jerman dilaporkan mengalami kecederaan parah dalam satu serangan bersenjata di sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak, di ibu negara pada Jumaat.

Kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 4 pagi menerusi laporan diterima dari Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur hasil aduan orang awam yang berada di lokasi berkenaan.

Insiden berdarah itu hangat diperkatakan warganet apabila video kejadian terbabit tular di laman Telegram.

Difahamkan, beberapa warga asing dipercayai terlibat dalam insiden ganas itu dan mangsa berasal dari Australia didapati mabuk ketika serangan.

Setakat ini maklumat peribadi suspek masih belum diketahui namun pihak polis menganggarkan kira-kira lima sehingga enam lelaki tempatan dan warga Singapura disyaki terlibat.

Mangsa mengalami kecederaan parah di belakang badan serta tangan kiri akibat diserang senjata tajam dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Sumber polis berkata, setakat ini pihak polis masih belum boleh mendedahkan sebarang maklumat terperinci mengenai suspek kejadian itu.

“Polis masih sedang giat menjalankan siasatan dan maklumat terperinci belum boleh didedahkan.

“Sebarang info lanjut akan dimaklumkan sebaik siasatan selesai dan kenyataan rasmi akan dibuat sama ada di laman Facebook rasmi Polis Wangsa Maju atau siaran berita,” kata sumber itu kepada Majoriti.

Sebarang maklumat dan kenyataan rasmi berhubung kes tersebut akan dikeluarkan pihak polis dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram