SEORANG doktor yang mendakwa bertugas di Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini mengundang perhatian warganet apabila melemparkan kata-kesat terhadap anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib iaitu Nooryana Najwa.
Isu itu berlaku susulan perkongsian yang dimuat naik doktor bernama Azri Aizat itu menerusi akaun Twitter miliknya yang menuduh Nooryana menipu berhubung rekod kesihatan bapanya.
Tular di laman media, ciapan Twitter itu sempat dirakamkan oleh netizen sebelum ia dipadam oleh doktor berkenaan.
Doktor tersebut yang difahamkan sedang dalam tempoh kontrak, menuduh Nooryana menipu berhubung masalah kesihatan yang dihadapi bapanya dan lebih teruk, dia turut meninggalkan kata-kata kesat dengan menggelarkannya sebagai ‘anjing’.
Nooryana mendakwa masalah ulser dihadapi bapanya kembali menyerang dan tekanan darah juga semakin tinggi akibat pengambilan ubat yang dibekalkan doktor.
Bagi mendapatkan penjelasan dari pihak Hospital Kuala Lumpur, Pegawai Korporat Komunikasi, Mohd Zahir berkata pihak atasan masih belum berikan sebarang kenyataan berhubung isu ini.
“Pihak pengurusan masih belum ada sebarang maklumat tentang hal ini dan ketua unit kami juga kini sedang berada di luar kawasan.
“Jika ada maklum balas daripada pihak atasan kami akan beritahu kepada pihak media dan setakat ini soalan boleh diajukan kepada laman web rasmi Hospital Kuala Lumpur," katanya kepada Majoriti.
Menjengah ke ruangan komen di TikTok, rata-rata warganet kecewa dengan tindakan doktor tersebut yang sepatutnya tidak mendedahkan sebarang butiran peribadi pesakit kepada umum.
“Sedihnya, sejahat manapun manusia bukan untuk dihina, kita ni semua pendosa dan jangan la ada sifat dengki satu sama lain," kata Sentuhan Kayangan.
“Siapa kita untuk membalas dendam, sedangkan nabi pun memaafkan umat apatah lagi kita ni sebagai insan manusia biasa, biar tuhan sahaja yang tentukan nasib dia," jelas harithh86.
“Kita tidak berada di situasi doktor itu jadi jangan la dimaki, doa yang baik-baik kerana manusia itu tiada yang sempurna," tambah idah sham.
Majoriti sedang mendapatkan respons Persatuan Perubatan Malaysia berhubung isu itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram