Wanita berlagak samseng selepas langgar motosikal, mengamuk hempas pintu Axia sebelum cabut lari


  • Tular
  • Selasa, 13 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan pergaduhan berlaku selepas pelanggaran di simpang berhampiran jalan Semarak Kuching, Sarawak.

TINDAKAN seorang wanita yang mengamuk selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Semarak, Kuching di Sarawak mengundang perhatian apabila dia dilihat menimbulkan kekecohan dan keganasan di lokasi kejadian.

Kemalangan itu yang dipercayai berpunca daripada pelanggaran di simpang lampu isyarat trafik telah menyebabkan seorang penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh di laluan terbabit.

Dirakamkan menerusi rakaman video dashcam, perkongsian tersebut dimuat naik di laman Facebook dan tular dalam kalangan netizen.

Rakaman berdurasi 32 saat itu memaparkan pergaduhan apabila wanita berkenaan mula bertindak ganas dengan menolak serta memarahi salah seorang penunggang terbabit.

Saling menjerit satu sama lain, pertelingkahan itu kemudiannya dikejutkan dengan perbuatan pemandu kereta yang merempuh motosikal berkenaan sekaligus menghentikan kejadian tolak menolak antara mereka.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati kedua-dua pihak akibat pelanggaran yang berlaku sehingga mencetuskan perbalahan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan tindakan wanita tersebut.

Honey berkata, kejadian itu berpunca daripada kereta berkenaan kerana tidak berhenti ketika keluar dari simpang.

"Kalau nak diikutkan memang salah kereta Axia tu sebab tak berhenti ketika keluar simpang, syukur tiada yang cedera kalau tidak memang kena buat laporan polis," katanya.

"Dia takut sebab tu cuba lari, di situ dah boleh tahu siapa yang bersalah sebab cara dia mengamuk dan rempuh motosikal tu pun dah dikira kesalahan, kalau tak buat salah pergi buat laporan di balai polis," tambah SoooSweeetttt.

"Samseng betul perempuan tu, buat laporan polis masuk lokap je terus baru tahu dia berani lagi ke tidak," jelas niena.

Menurut maklumat semasa, kereta itu kemudiannya bertindak melarikan diri selepas pergaduhan tersebut dan tiada laporan daripada pihak polis diterima setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram