Polis nafi pegawai kanan suspek kes dera orang gaji


  • 112
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Pembantu warga Indonesia yang menjadi mangsa dera kini mendapat rawatan di Hospital Selayang.

POLIS menafikan dakwaan yang mengatakan seorang Ketua Polis Daerah terlibat dalam kes mendera orang gaji di Batu Caves, Selangor pada 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan merupakan satu fitnah yang cuba menjatuhkan imej polis.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang jika ada yang membuat spekulasi dan fakta tidak tepat berkaitan kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Arjunaidi, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan seorang wanita Indonesia yang menjadi mangsa dera oleh majikannya.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa mula bekerja sebagai pembantu rumah pada Oktober 2019 dan sering didera secara fizikal oleh majikannya, wanita warga tempatan berusia 35 tahun.

"Kita kemudian telah menahan pasangan suami isteri berusia 35 dan 38 tahun yang menjadi suspek dalam kes ini," katanya.

Jelasnya, pada 8 September, kedua-dua suspek telah dituduh di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007) dan suspek wanita dituduh dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ujarnya, kedua-dua suspek tidak mengaku salah terhadap dua-dua pertuduhan yang dibuat secara berasingan di Mahkamah Sesyen Klang dan Selayang, Selangor.

Arjunaidi berkata, kedua-duanya juga telah membayar denda berjumlah RM10,000 dan RM8,000.

Tambahnya, mahkamah telah menetapkan sebutan kes bagi kedua-dua pertuduhan pada 5 Oktober depan di Mahkamah Sesyen Klang manakala mangsa kini mendapat rawatan di Hospital Selayang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram