Irfan Bakti tak peduli rekod, optimis TFC-JDT sama hebat


  • Podium
  • Jumaat, 09 Sep 2022

TFC turut menjalankan latihan di SNBJ menjelang perlawanan akhir Piala FA. — Facebook/TFC

SEKIRANYA rekod di atas kertas, nampaknya perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu ini sudah tentu tidak memihak kepada skuad Terengganu FC (TFC) apabila pernah tewas dua kali kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, bagi jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim, rekod itu tidak boleh dijadikan ukuran memandangkan prestasi semasa skuad Nafuzi Zain boleh dikatakan pada tahap terbaik selepas memenangi semua lima perlawanan liga sebelum ini.

Justeru, Irfan Bakti menjangkakan aksi sengit bakal ditampilkan kedua-dua pasukan itu sambil memberitahu kedua-dua pasukan mampu untuk merebut piala itu.

jdt

JDT menjalankan latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). — Facebook JDT

“Berdasarkan prestasi semasa Terengganu ketika ini yang menang kesemua lima perlawanan sebelum ini, saya tidak menolak mereka mampu untuk cipta kejutan pada perlawanan akhir nanti.

“Malah kalau ikut rekod sebelum ini, Nafuzi antara jurulatih yang pernah mengalahkan JDT di laman sendiri yang mana bagi saya ia bukan satu tugas mudah.

“Jadi mungkin pada perlawanan akhir nanti Nafuzi boleh mengulang kejayaan itu dan bawa Piala FA balik ke bumi Terengganu,” katanya pada Khamis.

Mengenai JDT, Irfan mengakui meskipun pasukan itu sedikit bergelut dalam beberapa perlawanan di bawah kendalian jurulatih baharu, Hector Bidoglio, beliau percaya Harimau Selatan akan bangkit untuk memberi aksi yang terbaik.

Malah jelasnya, beberapa pemain JDT seperti Ariff Aiman Hanapi juga mampu menjadi ancaman buat TFC pada perlawanan itu.

“Walaupun JDT sedikit bergelut dalam beberapa perlawanan di bawah jurulatih baharu, saya tak rasa mereka akan biarkan perkara itu begitu sahaja.

“Saya percaya JDT akan jadi JDT yang sentiasa dahagakan kemenangan pada perlawanan akhir nanti,” ujarnya.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram