Debaran kian terasa, 3 tonggak JDT, Terengganu bakal curi tumpuan final Piala FA 2022


  • Podium
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Shahrul Saad (kiri) mengasak penyerang Terengganu FC, Kpah Sherman ketika pertemuan kedua-dua pasukan pada bulan lepas.

MENJELANG perlawanan akhir Piala FA 2022 antara Terengganu FC dan Johor Darul Takzim (JDT), persiapan secara fizikal dan mental pasti sudah disiapkan kedua-dua pasukan.

Kedua-dua ketua jurulatih sudah tentu akan memastikan tahap kecergasan setiap pemain berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi 90 minit yang bakal menentukan masa depan mereka.

Selain persiapan itu, pihak pengurusan juga semestinya akan mengenal pasti tahap ancaman pihak lawan dengan mengambil kira prestasi dan kelebihan setiap pemain.

Perkara tersebut adalah untuk memastikan pendekatan taktikal yang sesuai dapat diaplikasikan sepanjang perlawanan bagi membawa pulang trofi yang diidam-idamkan itu.

Bagi JDT, mereka pasti akan memberi tumpuan kepada penyerang sayap Sang Penyu, Faisal Halim yang pasti menjadi ancaman kepada bahagian kanan pertahanan Harimau Selatan.

Faisal mempunyai kebolehan untuk menggelecek bola dengan kemas selain tubuh badannya yang kecil membolehkan pemain kebangsaan tersebut untuk menerjah masuk ke dalam kawasan berbahaya JDT.

Terengganu FC pula pasti akan memastikan penyerang import kelahiran Brazil, Bergson da Silva dikawal rapi sepanjang perlawanan berikutan prestasinya yang sememangnya sukar dibendung.

Dengan 21 gol dalam Liga Super, tidak hairanlah sekiranya barisan pertahanan akan mengasak dan menutup peluang kepada penyerang tersebut di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

Namun, selain dua bintang itu, terdapat beberapa ancaman lain daripada kedua-dua pasukan yang perlu diberi perhatian sepenuhnya baik dari segi pertahanan mahupun dari segi serangan.

JOHOR DARUL TAKZIM

Corbin Ong

Sejak menyertai Harimau Selatan, Corbin Ong telah meletakkan namanya sebagai salah seorang pemain pertahanan yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia.

Di sebalik kemampuannya sebagai pemain pertahanan, pemain berdarah kacukan England-Malaysia tersebut mempunyai kebolehan untuk menambah ancaman kepada jentera serangan pasukan.

Kemampuan Corbin Ong juga terserlah dalam skuad kebangsaan sejak dia berjaya memperolehi status naturalisasi dengan membantu skuad Harimau Malaya untuk beraksi di Piala Asia 2023.

Corbin-ACL

Pemain berdarah kacukan England-Malaysia, La'Vere Corbin Ong. — Facebook/Johor Southern Tigers

Jadi, kehadiran Corbin Ong dalam pentas final pastinya memberi ketajaman kepada jentera serangan dan anak buah Nafuzi Zain semestinya perlu mencari jawapan untuk mengekang kemaraan pemain itu.

Tidak cukup dengan itu, skuad Sang Penyu juga pasti mencari jalan untuk menyerang di sayap kanan mereka apabila Corbin Ong terkenal sebagai seorang pemain yang lasak.

Shahrul Saad

Kejayaan benteng pertahanan Harimau Selatan sering dikatakan berpunca daripada kecemerlangan penjaga gol, Farizal Marlias dan Haziq Nadzli yang berjaya mengecewakan percubaan daripada pihak lawan.

Namun, salah seorang pemain yang boleh dikatakan sebagai wira tidak didendang adalah pemain pertahanan kental, Shahrul Saad yang jarang tampil dengan permainan yang mengecewakan.

Shahrul-JDT

Shahrul Saad sememangnya figura penting dalam benteng pertahanan JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers

Sejak menyertai JDT dari Perak FC, pemain berusia 29 tahun itu semakin menjulang namanya sendiri sebagai salah seorang pemain pertahanan yang boleh diharapkan dalam Liga Malaysia.

Selain berjaya mewujudkan keserasian bersama Shane Lowry, kemampuan pemain tersebut untuk mematahkan cubaan serangan pihak lawan pastinya didambakan ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio.

Pengalaman anak kelahiran Perak itu juga pasti akan memberi kelebihan apabila dia pernah beraksi dalam pentas akhir Piala Malaysia sebanyak dua kali serta berjaya menjulang trofi itu pada 2018.

Oleh itu, pihak pengurusan Terengganu FC pasti akan merancang gerak atur yang sesuai bagi memastikan mereka mampu menjaringkan gol yang bakal memberi kelebihan di pentas final itu.

Kebijaksanaan dan keupayaan penyerang, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche juga akan menjadi kunci utama dalam memperdayakan pemain pertahanan tersebut meskipun mereka memahami keupayaannya yang tersendiri.

Arif Aiman Hanapi

Kekurangan pengalaman bukanlah penghalang kepada pemain sayap muda Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi yang sering menampilkan persembahan yang memberangsangkan.

Meskipun mempunyai susuk tubuh yang kecil, Arif Aiman tidak meletakkan perkara itu sebagai kekurangannya apabila dia berjaya menempah namanya sebagai permata bola sepak negara.

Pemain berusia 20 tahun berkenaan sering menampilkan gaya permainan yang matang dengan kemampuannya untuk menyumbang gol selain mempunyai kelincahan untuk melepasi benteng pertahanan lawan.

Misalnya, persembahan Arif Aiman ketika menentang Penang FC pada separuh akhir Piala FA tahun itu menunjukkan bahawa dia mampu menyumbang sesuatu kepada barisan serangan.

1686879

Bakat dan kemampuan Arif Aiman sukar untuk disangkal. — Facebook/Johor Southern Tigers

Selain itu, dia juga telah berjaya mencatatkan 10 hantaran gol dalam saingan Liga Super menerusi hantaran lintang yang berjaya mencari rakan sepasukan dalam zon yang berbahaya.

Tidak cukup dengan itu, pemain kelahiran Pahang itu juga mempunyai keazaman yang sukar luntur yang menyulitkan pihak lawan untuk mendapatkan atau mencuri bola daripada kakinya.

Perkara itu dapat dilihat ketika JDT bertemu Selangor FC baru-baru ini dengan Arif Aiman sukar untuk diasak sehingga memaksa pemain The Red Giants menggunakan kekasaran.

Kelebihan itu pastinya digunakan pengendali pasukan untuk memastikan JDT berjaya menjulang piala tersebut buat kali kedua selepas kali terakhir memenanginya pada 2016.

TERENGGANU FC

Manuel Ott

Di sebalik kemampuan jentera serangan Sang Penyu, mereka mempunyai seorang pemain tengah serangan yang mempunyai kepintaran untuk mengatur gerak geri pasukan kendalian Nafuzi Zain.

Pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott sudah menjadi pemain yang mempunyai kebolehan untuk menyumbang gol kepada pasukan tersebut meskipun dalam momen yang getir.

299833483_442125694637422_6520188574630574748_n

Sentuhan magis Manuel Ott (kiri) pasti ditunggu-tunggu dalam perlawanan akhir Piala FA 2022. — Facebook/Terengganu FC

Selepas menyertai pasukan itu pada awal tahun lalu, Ott sudah menjadi nadi kepada pasukan yang sedang bersaing untuk tempat di Piala AFC 2023 selain bersungguh-sungguh untuk menjulang Piala FA Sabtu ini.

Dalam saingan Liga Super sahaja, dia sudah berjaya menjaringkan empat gol serta menghasilkan empat bantuan gol dalam pasukan yang tidak memulakan kempen mereka dengan cemerlang.

Oleh itu, kehadiran Ott pasti akan memberi kebuntuan kepada barisan pertahanan Harimau Selatan apabila mereka juga perlu memberi perhatian kepada penyerang import Sang Penyu.

Selain itu, kemampuan pemain berjersi nombor 8 tersebut untuk menjaringkan gol juga perlu diberi perhatian bagi memastikan gawang mereka tidak mudah dibolosi sepanjang 90 minit itu.

Faiz Nasir

Baru-baru ini, pengendali skuad Terengganu FC melihat pemain JDT mempunyai pengalaman dan kualiti yang sukar disangkal apabila mereka pernah beraksi di perlawanan akhir dengan lebih kerap.

Walaupun perkara ini tidak memberi kesan terhadap peluang mereka untuk muncul sebagai pasukan pilihan, ia sedikit sebanyak memberi kelebihan mental buat juara lapan kali Liga Super berturut-turut itu.

Namun, Nafuzi juga bersyukur apabila mereka mempunyai beberapa pemain yang pernah beraksi di pentas final dengan salah seorangnya merupakan pemain sayap kiri mereka, Faiz Nasir.

301530429_1543085116122164_2100484260809026323_n

Persembahan Faiz Nasir pasti akan dinantikan dalam pentas final itu nanti. — Facebook/Terengganu FC

Hanya berketinggian 1.54 m, Faiz mempunyai keupayaan untuk melepasi benteng pertahanan lawan apabila dia mempunyai kebolehan untuk menggelecek bola dengan kelincahan yang tersendiri.

Meskipun tidak mempunyai sumbangan besar dalam saingan Liga Super dan Piala FA musim ini, pemain kelahiran Kelantan itu pasti mempunyai kebolehan untuk melakukan magis dalam final nanti.

Tidak cukup dengan itu, pemain berusia 30 tahun tersebut juga pastinya membawa perbezaan kepada Sang Penyu apabila dia mempunyai kebolehan untuk mencetuskan gerak-geri yang menarik.

Namun, persoalannya, adakah dia akan dipilih dalam kesebelasan utama pada hari bersejarah itu apabila mereka mempunyai pilihan lain yang juga mampu memberi sumbangan yang tersendiri buat pasukan tersebut?

Kipre Tchetche

Seperti mana Arif Aiman buat JDT, usia juga bukanlah penghalang kepada penyerang Terengganu FC kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche yang masih mampu menyumbangkan gol buat pasukan tersebut.

Walaupun dengan kehadiran penyerang import, Petrus Shitembi dan Kpah Sherman, kebolehan Tchetche masih ditagih skuad Sang Penyu yang mempunyai kebolehan untuk memberi sumbangan kepada pasukan itu.

Lebih-lebih lagi, kebolehan pemain berjersi no. 23 itu untuk menjaringkan hatrik ketika berdepan Melaka United pada Sabtu pasti menambah peluang untuknya beraksi dalam perlawanan akhir itu nanti.

Meskipun hanya menyumbangkan lima gol dalam saingan Liga Super, perkara itu pasti tidak akan melunturkan peluang untuknya dipilih apabila dia juga pernah diturunkan sebagai kapten.

304174811_1540446933052649_651574819795692363_n

Ledakan hattrik Tchetche pasti membolehkannya beraksi pada Sabtu ini. — Facebook/Terengganu FC

Perkara itu pasti memberi kelebihan kepada skuad Sang Penyu yang tidak sabar untuk menamatkan kemarau trofi yang telah dialami sejak lebih 10 tahun lalu.

Bagi Tchetche pula, peluang keemasan itu pasti tidak akan disia-siakan dalam membolehkannya menjulang sekurang-kurangnya satu trofi bersama pasukan pantai timur itu selepas kekecewaan yang dialami pada 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram