Ratu Elizabeth makin tenat, ahli keluarga diraja sudah berkumpul


  • Benua
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Ratu Elizabeth dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’ sejak hujung tahun lalu. — Agensi

RATU Elizabeth II berada di bawah pengawasan perubatan selepas doktor bimbang terhadap kesihatan baginda, kata Istana Buckingham pada Khamis.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas ratu berusia 96 tahun itu membatalkan mesyuarat Majlis Privy apabila baginda dinasihati untuk berehat.

"Berikutan penilaian lanjut pagi ini (Khamis), doktor prihatin tentang kesihatan baginda dan menyarankan baginda untuk kekal di bawah pengawasan perubatan.

"Ratu tetap selesa dan berada di Istana Balmoral di Scotland," kata jurucakap istana yang enggan namanya disiarkan.

Pihak istana bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang keadaan terkini ratu dan ada khabar angin yang mengatakan keadaannya mungkin lebih serius.

Putera Charles, pewaris takhta, bersama isterinya, Camilla, dan adik perempuannya, Puteri Anne, berada bersama ratu di Istana Balmoral, kediaman musim panasnya di Scotland.

Ahli keluarga diraja yang lain, termasuk anak lelaki Charles, Putera William dan Harry, juga dilaporkan sudah mendarat di Scotland.

Perhimpunan ahli keluarga House of Windsor itu diadakan tiga bulan selepas kali terakhir bertemu tiga bulan lalu ketika meraikan ulang tahun ke-70 Ratu Elizabeth II bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

Pada usia 96 tahun, Ratu Elizabeth merupakan monarki Britain yang paling lama bertakhta.

Ketika orang ramai bersorak, mengibarkan bendera memenuhi jalanan di sekitar Istana Buckingham sepanjang empat hari perayaan itu, ratu sendiri hanya membuat dua penampilan ringkas di balkoni istana untuk melambai tangan kepada rakyatnya.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, baginda banyak menyerahkan tugas kepada Putera Charles dan ahli keluarga diraja yang lain, selepas pulih daripada jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Perdana Menteri United Kingdom, Liz Truss berkata, seluruh negara sangat mengambil berat dengan berita dari Istana Buckingham.

"Ingatan saya dan rakyat di seluruh United Kingdom bersama Duli Yang Maha Mulia Ratu dan keluarga baginda pada masa ini," katanya menerusi ciapan Twitter.

Ratu Elizabeth, raja paling lama memerintah Britain dilaporkan menghidap 'episodic mobility problems' sejak hujung tahun lalu.

Baginda yang juga raja tertua dunia menaiki takhta pada tahun 1952. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram