Lelaki selamba guna bendera kebangsaan macam kain buruk lap motor


  • Benua
  • Khamis, 08 Sep 2022

Tangkap layar seorang lelaki dilihat bersahaja membersihkan skuter berwarna putih menggunakan bendera India. — Agensi

SEJAK zaman kanak-kanak lagi setiap individu sudah ditanam dengan nilai-nilai murni dan patriotik untuk menghormati bendera kebangsaan.

Jika terdapat mana-mana individu yang menghina atau tidak menghormati bendera negara masing-masing, mereka pasti akan dikenakan tindakan oleh pihak berwajib bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara juga.

Baru-baru ini tular sebuah video seorang lelaki India tidak menghormati bendera negara kelahirannya apabila dia menggunakan bendera tersebut untuk membersihkan motosikal miliknya.

Menerusi video terbabit, lelaki itu dilihat dengan bersahaja membersihkan skuter berwarna putih menggunakan bendera seakan-akan kain buruk hingga menarik perhatian orang awam yang merakam perbuatan tersebut.

Difahamkan kejadian itu berlaku di Ghonda Utara, Delhi, India pada Rabu.

Video tersebut berjaya menarik perhatian pihak polis Delhi dengan memfailkan laporan terhadap suspek dan kes tersebut didaftarkan di bawah seksyen 2 Akta Pencegahan Penghinaan terhadap Kehormatan Negara, 1971 di balai polis Bhajanpura.

Menurut pegawai kanan polis, tertuduh dipanggil untuk disoal siasat dan suspek menyatakan perbuatan tersebut tidak disengajakan dan kami meminta dia untuk menghadiri perbicaraan mahkamah nanti.

Video tular tersebut menimbulkan perasaan marah rakyat tempatan terhadap lelaki yang tidak menghormati bendera negara India. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram