Terpaksa 'check in' hospital angkara bufet kitar semula hotel mewah


  • Tular
  • Rabu, 07 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan antara menu makanan yang tidak dihidangkan dalam keadaan bersih oleh pihak hotel terbabit.

INDAH khabar dari rupa, sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Selangor dikatakan tidak menjaga kebersihan makanan bufet yang disediakan sehingga menyebabkan seorang wanita mendakwa dirinya keracunan makanan.

Wanita terbabit mendakwa, dia terpaksa menanggung kesakitan dan ditahan di wad hospital berikutan kes keracunan yang dialami gara-gara menjamah bufet yang didakwa dikitar semula oleh hotel terbabit apabila kembali menghidangkan baki makanan yang tidak habis pada keesokan harinya.

Memuat naik rakaman video di laman TikTok, pemilik akaun eizzyazhar berkongsi kronologi kejadian malang yang menimpa dirinya.

Menurutnya, dia mengalami jangkitan bakteria di usus perut kerana makan makanan yang kotor dan basi di bufet hotel tersebut.

Antara isu kekotoran yang didakwa adalah makanan dihidangkan tanpa lapik, susyi tidak segar dan basi serta serangga lipas yang berkeliaran di kawasan makanan.

Sehingga kini, mangsa masih lagi dirawat di hospital dan menerima suntikan ubat berikutan kesakitan yang dialami.

Tangkap layar menunjukkan mangsa menerima suntikan ubat berikutan jangkitan bakteria usus yang dialami.

Menerima lebih 12,000 jumlah tontonan, netizen turut meninggalkan komen berkenaan isu terbabit.

"Tak sangka hotel bertaraf lima bintang macam tu pun pengotor, biasanya hotel eksklusif ni jaga kebersihan dan kualiti makanan," kata KITTY2.

"Ini la perkara yang saya paling benci, hotel di Malaysia ni masih tak ikut SOP, suka kitar semula makanan selagi tak habis, saya pernah terjumpa kek berkulat di sebuah hotel terkemuka sebelum ini," jelas Human.

Menuntut agar perkongsian ini mendapat perhatian di media sosial, Ikan Gapi berharap agar pihak penguatkuasa segera mengambil tindakan ke atas hotel tersebut.

"Gambar dan video semua dah ada, sila jalankan tindakan undang-undang dan biar video ini tular di laman sosial, bagi pengajaran sikit dekat hotel tu," tambahnya.

Dalam pada itu, selain terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi, mangsa turut meluahkan kesedihan apabila bil hospitalnya melebihi RM15,000 setakat ini.

Meskipun telah masuk hari keempat di hospital, difahamkan sehingga kini dia masih menerima rawatan dan belum boleh pulang berehat ke rumah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram