Padah culik budak, pesakit mental dikerjakan penduduk Kota Bharu


  • Tular
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan suspek kes culik itu dipukul beberapa penduduk awam di Kota Bharu.

SEORANG pesakit mental cedera dipukul penduduk kampung selepas didakwa cuba menculik seorang kanak-kanak di taman permainan berhampiran Dataran Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan.

Kejadian itu tular di laman Facebook apabila akaun Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK) memuat naik rakaman pergaduhan tersebut.

Difahamkan, perbuatannya berjaya dihidu orang awam dan suspek dikatakan ingin membawa lari kanak-kanak berkenaan dengan menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu sebaik suspek ditangkap orang awam di taman permainan terbabit.

"Suspek merupakan seorang penganggur dan hasil ujian saringan awal dadah menunjukkan keputusan negatif dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Dia kini dirujuk ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen melemparkan kecaman kepada individu berkenaan.

"Kalau betul kes culik biar pukul sampai mati pun tak apa, makin banyak kes culik sekarang ni takut anak-anak kita pula jadi mangsa," kata Hafizie Ezy.

"Betul ke dia nak menculik dengan motosikal, tak pernah dibuat orang tapi mungkin ada rakannya yang lain sedang menanti," tambah Abe Jue.

Namun, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram